LAWAS: Sarawak memerlukan ramai tenaga kerja dalam pelbagai sektor industri berteknologi tinggi untuk menerokai bidang baharu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kini Sarawak mula menerokai dalam sektor teknologi aeroangkasa setelah berjaya menerokai teknologi digital, tenaga hijau dan kecerdasan buatan (AI).
“Premier kita sudah bercakap bukan saja tentang digital ekonomi, ekonomi baharu, teknologi hijau dan sekarang kita nak meningkatkan dari segi aeroangkasa.
“Kerajaan Persekutuan pun setuju Sarawak akan menjadi hab kepada perkembangan industri aeroangkasa. Ini mempunyai potensi yang begitu banyak dan memerlukan pekerja yang bukan saja yang berjaya dari segi akademik tetapi dari segi teknikal ini amat diperlukan, ” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup Bengkel Kecemerlangan SPM dan Kem Karnival STEM anjuran Sabati 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sundar hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (Sabati), Dato Dayang Morliah Awang Daud; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa dan Pegawai Pendidikan Daerah Lawas, Pengiran Abdul Kadir Pengiran Budin.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, mahu pelajar anak Sarawak memberi tumpuan kepada pendidikan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu katanya, penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa teknologi dan komersial juga perlu diberi penekanan.
Malah kata beliau, asas kepada semua kejayaan ini adalah berteraskan kepada kestabilan politik dan perpaduan rakyat Sarawak yang pelbagai latar belakang.
“Sarawak juga dijadikan hab semi konduktor industri untuk menumpu pembangunan teknologi AI. Kita amat bertuah kerana semua disebabkan suasana yang stabil.
“Malah pemimpin kita Premeir Sarawak mahu menerokai perkara baru dan ini merupakan trend dunia sekarang ini, ” tambahnya.
Oleh ADENG EDRUS