LONDON: Mikel Arteta berkata pasukannya Arsenal “bergerak dengan satu cara berbeza” apabila Martin Odegaard bermain selepas The Gunners membenam Nottingham Forest 3-0 lewat malam tadi sekali gus mengakhiri rentetan tanpa menang mereka.
Jaringan menarik sumbangan Bukayo Saka dan Thomas Partey serta gol sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pemain remaja Ethan Nwaneri memberikan Arsenal kemenangan pertama dalam lima aksi liga, menyemarakkan semula cabaran mereka memburu kejuaraan.
Arsenal, naib juara EPL bagi dua musim terakhir, memulakan kempen dengan cemerlang tetapi prestasi mereka merudum dan memulakan aksi malam tadi sembilan mata di belakang pendahulu Liverpool.
Kemenangan di Emirates membolehkan mereka mengumpul 22 mata, sama banyak dengan pasukan tangga ketiga Chelsea.
Arsenal mendahului pada minit ke-15 apabila Saka bertukar hantaran dengan Odegaard di penjuru kotak penalti sebelum rembatan kaki kirinya menerjah jaring.
Kapten Odegaard membuat penampilan pertamanya di Emirates sejak hujung Ogos lalu dan membuktikan betapa Arsenal kehilangan bisanya ketika tidak beraksi dua bulan kerana kecederaan.
Berkali-kali pemain Norway itu menemui ruang dalam kotak penalti dengan kepantasan lariannya dan mengumpan kepada Gabriel Jesus, yang menyaksikan percubaannya tersasar sebelum bergandingan dengan Saka sekali lagi.
Partey menggandakan kelebihan Arsenal pada awal babak kedua selepas menyambut hantaran Saka dari jarak 20 meter, menyentuh bola sebelum melakukan sepakan lencong melepasi jangkauan penjaga gol lawan Matz Sels.
Nwaneri yang berusia 17 tahun menyudahkan hantaran ke belakang Raheem Sterling untuk melengkapkan kemenangan bergaya itu pada minit ke-86.
“Saya fikir kami bermula dengan amat bagus,” kata Arteta kepada BBC. “Apa yang saya rasakan dalam 48 jam terakhir selepas rehat tugasan antarabangsa, pemain kembali dan kami bersedia menghadapinya.”
Bercakap mengenai Odegaard, yang kembali beraksi di Inter Milan awal bulan ini, beliau berkata: “Ia bukannya satu kebetulan. Pasukan ini bergerak lebih lancar dengan satu cara berbeza apabila dia beraksi.” – AFP