SIBU: Lebih 230 anjing peliharaan telah menerima vaksin dalam Program Vaksinasi Anti-Rabies, Mikrocip dan Pelesenan di pekarangan Perpustakaan Desa Bawang Assan, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau berkata program siri keenam ini adalah inisiatif penting untuk menyediakan perkhidmatan vaksinasi kepada komuniti luar bandar di sekitar Sibu.
“Sejak awal tahun, MDLBS dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menyasarkan beberapa kawasan termasuk Sekuau, Selangau, Durin, dan Rantau Panjang.
“Tujuan utama kami adalah melindungi penduduk daripada ancaman rabies yang semakin serius,” katanya ketika merasmikan program tersebut.
Beliau berkata, sehingga Oktober 2024, sebanyak 1,612 vaksinasi, termasuk suntikan penggalak, telah berjaya diberikan di kawasan Sibu.
Justeru itu, beliau menggesa masyarakat untuk memanfaatkan perkhidmatan percuma ini yang turut merangkumi pemasangan mikrocip dan pendaftaran lesen.
Inisiatif ini, katanya, bukan sahaja memastikan keselamatan haiwan peliharaan tetapi juga melindungi komuniti.
“Pencegahan adalah langkah terbaik dalam menangani ancaman rabies. Melalui program ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan menghentikan penularan penyakit ini di kalangan haiwan dan manusia,” tambahnya.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan lain yang belum mengikuti program ini dinasihatkan untuk berhubung dengan MDLBS dan DVS bagi mendapatkan maklumat lanjut serta memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan.
Oleh Tarani Lanting