KUCHING: Masih bergelut dengan jerih payah kehidupan pada usia senja, seorang warga emas tetap meneruskan hidupnya dengan penuh ketabahan tanpa membebankan sesiapa.
Berusaha untuk meringankan beban keluarga, nenek berusia 82 tahun itu baru-baru ini menghubungi Pusat Kebajikan Harapan (Hope Place) Kuching bagi mendapatkan sokongan.
Menurut Hope Place, dia kini tinggal bersama suaminya yang cacat penglihatan, dua anak dewasa dan seorang cucu perempuan di Batu Kawa.
”Meskipun suaminya buta sejak masa muda, dia tetap berdikari dan bekerja sebagai seorang tukang urut dan akan pergi ke rumah pelanggan apabila khidmatnya diperlukan.
”Tidak pernah menjadikan kekurangannya sebagai alasan, dia masih kuat berusaha menyara keluarga meskipun hanya berjalan menggunakan kaki palsu.
”Sementara itu, seorang anak lelaki mereka menghidap penyakit autisme sejak kecil, hiperaktif namun tidak dapat bercakap dengan jelas dan masih berkelakuan seperti kanak-kanak,” katanya menerusi satu hantaran Facebook.
Lebih membimbangkan, anak lelaki mereka itu sering keluar sendiri tanpa diketahui mereka sekeluarga.
Satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga mereka ialah anak perempuannya yang bekerja sambilan sebagai kerani pentadbiran.
Bagaimanapun, dia perlu menjalani dialisis pada hari tertentu dan ia menyukarkannya untuk bekerja sepenuh masa.
”Anak perempuan dewasa mereka merupakan seorang ibu tunggal, mempunyai seorang anak perempuan berusia 16 tahun.
”Anaknya juga menerima bantuan bulanan RM350 dari kebajikan masyarakat,” tambahnya.
Sehubungan itu, Hope Place membantu keluarga ini dengan memberikan bantuan makanan asas secara berterusan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA