LIMBANG: Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa adalah sukan ikonik bagi Bahagian Limbang yang perlu dipromosikan secara meluas kepada luar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kejohanan yang kini bertaraf antarabangsa telah mendapat sambutan luar biasa di negara ini dan negara jiran Brunei.
“Kita optimis kejohanan ini akan dapat diadakan dalam skala lebih besar pada tahun hadapan melalui hadiah lumayan yang ditawarkan,”katanya pada Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa di Kompleks Sukan Limbang hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang; Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal dan Walikota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat.
Awang Tengah berkata lebih banyak usaha perlu diadakan untuk menjadikan kejohanan ini lebih besar pada masa akan datang.
Sukan tarik tali katanya juga bukan saja untuk kesihatan tetapi merapatkan hubungan antara wilayah yang terlibat, memperkenalkan satu dengan yang lain.
Beliau yakin peserta yang bertanding dapat menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi terutama peserta-peserta tempatan.
“Tunjukkanlah kebolehan kita dalam sukan tarik tali ini dan gunakanlah platform pertandingan ini untuk memperoleh sebanyak mungkin pengalaman, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai peserta dari luar,” katanya.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang (PTTBL) adalah cetusan ilham Dr Abdul Rahman, yang pertama kali diadakan pada 2007.
Sebanyak 52 pasukan dari Sabah, Sarawak, Brunei, Wilayah Persekutuan Labuan dan Semenanjung Malaysia menyertai kejohanan itu.
Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Limbang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM79,000 selain merebut piala Premier Sarawak.
Oleh ADENG EDRUS