JELEBU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berharap kerajaan mengkaji semula akta atau peraturan sedia ada berkaitan perniagaan agar lebih mesra koperasi bagi membolehkan gerakan koperasi negara turut sama menikmati insentif yang diumumkan.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, meskipun apa yang diumumkan kerajaan seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) amat baik, namun ia tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh gerakan koperasi memandangkan kekangan dalam akta.
“Masalahnya kita koperasi tidak diiktiraf sebagai institusi yang boleh mendapat insentif di bawah pakej-pakej yang kerajaan buat. Kalau koperasi nak ambil pinjaman di bawah pakej yang disenaraikan, bank akan tengok sama ada kita mempunyai pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Sebagai koperasi, kita tak perlu daftar dengan SSM kerana koperasi itu adalah entiti perniagaan dan kita daftar bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Kita mencadangkan kepada kerajaan, ada beberapa akta seperti Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 perlu dipinda dengan memasukkan klausa baharu yang lebih mesra koperasi sebab akta yang ada sekarang tidak mengiktiraf koperasi sebagai entiti yang layak menikmati kemudahan itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke ladang ternakan Konsortium Kariah Masjid Malaysia Berhad (KONSORMAS) di Kampung Kuala Jerang, dekat sini.
Ditanya sama ada terdapat dalam kalangan 6.098 juta ahli bernaung di bawah Angkasa gulung tikar ketika negara dilanda pandemik Covid-19, Abdul Fattah berkata, setakat ini belum ada memandangkan kekuatan koperasi yang sedia ada didokong oleh ahli.
“Koperasi ini, modal dia berdasarkan kepada ahli dan kita tak bergantung modal daripada pihak ketiga. Jika ada krisis seperti ini, ahli akan buat keputusan untuk alih perniagaan yang ada kepada perniagaan yang lain.
“Saya tak nampak Covid-19 ini memberi kesan teruk kepada koperasi kerana kita ada strategi. Kita dah kenal pasti perniagaan-perniagaan baharu yang seharusnya koperasi kena lihat antaranya perniagaan yang boleh mendapatkan pulangan yang cepat seperti aktiviti pengeluaran bahan makanan termasuk penternakan,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Fattah berkata sehingga Mei lepas, terdapat 471 buah koperasi kariah masjid yang telah berdaftar di seluruh negara termasuklah KONSORMAS dan daripada jumlah itu 48 adalah dari Negeri Sembilan.- Bernama