TANJUNG MALIM: Penyanyi dan maestro muzik, Datuk M. Nasir menyifatkan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan yang diterima dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai satu penghormatan tertinggi kepadanya selepas lebih 45 tahun bergelar anak seni.
Beliau berkata pengiktirafan ini juga membuktikan UPSI antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyokong pembangunan serta kemajuan bidang seni di negara ini.
“Bagi saya penghormatan ini satu anugerah yang besar dan mereka (UPSI) antara pihak yang mengikuti perkembangan seni saya secara dekat.
“Penghormatan ini juga membuktikan bahawa UPSI antara pihak yang menyokong serta mengangkat bidang seni ke peringkat tertinggi,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kali ke-26 di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Terdahulu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan kepada penyanyi kelahiran Bukit Panjang, Singapura berusia 67 tahun itu.
M. Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed berkata buat masa ini beliau akan meneruskan aktiviti seni seperti biasa selain bercadang menerbitkan sebuah filem dalam masa terdekat.
Sementara itu, vokalis kumpulan Lefthanded Datuk Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias berkata usia bukan halangan buatnya untuk mengenggam Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q.
Penyanyi berusia 65 tahun itu berkata beliau mengambil masa dua tahun untuk menghabiskan pengajian yang bermula awal Jan 2022.
“Saya akui pada awalnya berdepan pelbagai cabaran untuk menyiapkan tugasan yang diberikan namun sokongan tenaga pengajar dan keluarga menjadi penguat untuk saya menghabiskan pengajian ini,” kata anak jati kelahiran Muar, Johor itu.
Nash berkata keputusannya melanjutkan pelajaran juga didorong oleh keinginan untuk mendalami ilmu khususnya dalam bidang seni persembahan yang melibatkan pelbagai cabang.
“Kebanyakan orang lihat seni itu hiburan semata-mata tetapi kalau dilihat dari skop yang lebih mendalam, seni itu sebenarnya bersifat pelbagai.
“Dalam seni, ia bukan hanya melibatkan nyanyian, tarian dan lakonan semata-mata sebaliknya ilmu untuk menguruskan perkara itu (aktiviti seni) juga perlu seiring supaya produk yang dikeluarkan berkualiti,” katanya.
— BERNAMA