KANOWIT: Sebanyak 20 orang belia, kebanyakannya pengguna baru aplikasi Canva, telah menyertai Kursus Asas Penggunaan Canva di NADI Kanowit, baru-baru ini.
Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Rakan Mahir @ Parlimen Kanowit yang diadakan dengan kerjasama Kelab Belia Taman Muhibbah.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu dalam kenyataannya di Facebook menyatakan program ini bertujuan untuk memperkasakan kemahiran rekaan grafik dalam kalangan belia setempat.
“Sepanjang bengkel, para peserta diberikan pendedahan tentang asas dan teknik menggunakan Canva, sebuah platform reka bentuk grafik yang mesra pengguna dan semakin popular,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, program ini dirangka bagi membantu belia meningkatkan kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa.
“Ia turut memberi peluang kepada peserta untuk mengasah kreativiti dalam menghasilkan kandungan visual yang menarik, sama ada untuk keperluan peribadi, perniagaan kecil, mahupun aktiviti komuniti,” katanya.
Ia turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan tenaga pengajar yang telah menyumbang kepada kejayaan program ini.