KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih tiket ke Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2024 meskipun terkandas pada pusingan suku akhir Masters China 2024 di Shenzhen, semalam.
BWF dalam ciapan di laman X hari ini mengesahkan Aaron-Wooi Yik bersama Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia menjadi pasangan yang mengisi dua slot terakhir untuk menyertai enam gandingan yang sudah mengesahkan tempat lebih awal.
Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani antara yang sudah mengesahkan tempat ke kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Dis itu.
Terdahulu, misi Aaron-Wooi Yik untuk layak ke kejohanan itu menerima tamparan apabila ditunjukkan jalan keluar di peringkat suku akhir Masters China selepas tewas kepada wakil tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu 23-25, 21-17, 12-21.
Kekalahan kepada pilihan ketiga itu menjejaskan peluang Aaron-Wooi Yik sekali gus pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 tersebut terpaksa bergantung kepada kemaraan pasangan lain.
Sebagai rekod, ini akan menjadi penampilan kelima Aaron-Wooi Yik di Kejohanan Jelajah Dunia Akhir selepas edisi 2019, 2020, 2022 dan 2023.
Pada edisi kali ini, beregu campuran Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai; beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah dan pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki Paris 2024 Lee Zii Jia turut menjadi wakil negara ke Hangzhou apabila kedudukan mereka dalam kelompok lapan terbaik telah terjamin bagi kategori masing-masing.
— BERNAMA