SARIKEI: Karnival Sukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei 2024 selama tiga hari berjalan dengan lancar.
Ketua BBP Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, karnival tersebut diadakan bermula 19 November hingga 21 November 2024 bertempat di padang kawad BBP Sarikei.
“Alhamdulillah, karnival sukan berjalan dengan lancar dan ia melibatkan tiga acara sukan.
“Karnival ini merupakan program pembangunan organisasi BBP Sarikei, bertujuan memupuk budaya sihat bersukan, mencungkil bakat baru serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan anggota BBP Sarikei,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata kesemua anggota bomba BBP Sarikei terlibat dengan karnival sukan ini.
“Tiga acara sukan yang dipertandingkan adalah sepak takraw, bola sepak jalanan (street soccer) dan bola tampar,” katanya.
Tambahnya, johan bagi pertandingan sepak takraw dinobatkan kepada Pasukan Alpha, naib johan dimenangi Pasukan Bravo dan tempat ketiga juga dimenangi Pasukan Alpha.
“Johan bagi pertandingan bola sepak jalanan turut dinobatkan kepada Pasukan Alpha, naib johan dimenangi oleh Pasukan Bravo dan tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Charlie.
“Bagi pertandingan bola tampar, johan dimenangi oleh Pasukan Pejabat Am, naib johan dimenangi oleh Pasukan Charlie dan tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Alpha,” katanya.
Oleh Earl Anek