SIBU: Seorang pengurus kanan pasar raya kerugian RM549,000 selepas terjerat dalam skim pelaburan tidak wujud yang dipromosikan melalui Facebook.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa wanita warga tempatan berusia dalam lingkungan 50-an tertarik dengan iklan pelaburan di media sosial sebelum dihubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Chole SDR’ melalui aplikasi What’sApp.
“Suspek mempromosikan skim pelaburan dengan janji keuntungan lumayan dan memasukkan mangsa ke dalam kumpulan What’sApp bernama ‘SPDR-AIA Super Plan’ untuk meningkatkan keyakinan,” katanya dalam kenyataan.
Zulkipli berkata suspek meminta mangsa memuat turun aplikasi AE Online untuk berkongsi butiran peribadi dan membuat pembayaran bagi memulakan pelaburan.
“Sepanjang tempoh 30 Oktober hingga 14 November 2024, mangsa membuat 12 transaksi berjumlah RM549,000 ke dalam tiga akaun bank tempatan berbeza yang diarahkan suspek,” katanya.
Beliau berkata, selepas pembayaran selesai mangsa cuba mengeluarkan wang pelaburan seperti dijanjikan, namun suspek meminta bayaran tambahan sebanyak RM981,540 sebagai syarat pengeluaran wang tersebut.
“Mangsa mula berasa curiga sebelum menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan dan terus membuat laporan polis.
“Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa risiko.
Katanya, semakan boleh dilakukan dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan kesahihan pelaburan.
“Semakan ke atas akaun bank dan nombor telefon mencurigakan boleh dilakukan melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.
Zulkipli juga menyarankan orang ramai bagi mendapatkan bantuan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk sebarang pertanyaan atau laporan berkaitan penipuan,” katanya.