KUALA LUMPUR: Atlet taekwondo wanita negara Nur Humaira Abdul Karim tetap bersemangat untuk mempertahankan pingat gangsa pada Kejohanan Taekwondo Poomsae Dunia 2024 di Hong Kong dari 30 Nov hingga 4 Dis ini meskipun kembali dihantui masalah kecederaan lutut kiri.
Atlet berusia 22 tahun itu juga yakin dengan kemampuan pasukannya meskipun berlaku perubahan susulan persaraan kakaknya Nurul Hidayah Abdul Karim tahun lepas, dan tempatnya kini digantikan dengan Seah Jing Ying, selain Lim Jia Wei dalam acara berpasukan wanita bawah 30 tahun.
“Kecederaan lutut kiri sudah dirasai sejak Sukan Sea 2023 di Kemboja, dan kembali sakit Julai lepas. Namun bagi saya sangat penting untuk mempertahankan gangsa dimenangi pada Kejohanan Dunia 2022 bagi mengutip lebih banyak mata dan pengalaman.
“Keserasian kami bertiga setakat ini memang terbaik walaupun Jing Ying masih muda dan baru sertai skuad senior tahun lepas. Namun saya akui keputusan agak sukar dijangka sebab cabaran datang daripada pelbagai negara dan persembahan pada hari pertandingan juga menjadi perkara yang sangat penting,” katanya hari ini.
Nur Humaira yang kini di bawah bimbingan jurulatih Yap Yih Tiing dan Jin Jun Beom berkata beliau berusaha menjalani latihan sekerap mungkin di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil meskipun kadangkala diberi pelepasan untuk bercuti kerana merasakan sukan itu cukup bermakna dalam kehidupannya.
Sokongan padu daripada keluarga serta kata-kata semangat rakan sepasukan menjadi pendorong utama untuk terus memperbaiki kelemahan, dan mengekalkan prestasi cemerlang seperti kejayaan meraih pingat emas pada Sukan Sea 2023.
“Fokus saya ketika ini memang pada persembahan berbanding terlalu memikirkan pelbagai lagi perkara. Sebab tahun ini saya masuk dua kategori, jadi saya harap kedua-duanya akan mara ke final,” katanya.
Selain mengambil bahagian dalam acara berpasukan wanita bawah 30 tahun, Nur Humaira juga akan menyertai acara berpasukan campuran bawah 30 tahun bersama Jason Loo Jun Wei.
Pada edisi 2022 di Goyang, Korea Selatan, trio poomsae wanita kebangsaan yang dibarisi Nurul Hidayah, Nur Humaira dan Jia Wei berkongsi pingat gangsa bersama Thailand dalam acara berpasukan wanita bawah 30 tahun.
Pingat emas ketika itu menjadi milik tuan rumah, manakala Taiwan merangkul pingat perak. – Bernama.