SRI AMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua seorang lelaki warga emas yang dipercayai hilang di kawasan kebun dekat Rumah Ringgit Ibol, sejak Rabu lalu masih menemui jalan buntu tanpa sebarang petunjuk setakat hari ini.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, SAR yang telah memasuki hari kedua hari ini telah diperluaskan dan dibahagikan kepada tiga pasukan penyelamat.
“Komander Operasi, ASP Leonard memberi taklimat kepada Anggota SAR dan memaklumkan tiada operasi dijalankan awal pagi tadi sehingga hujan reda atas faktor keselamatan anggota operasi.
“Namun, operasi SAR telah dimulakan pada 11.05 pagi dan pembahagian pasukan pencarian kepada tiga pasukan setelah sampai di pondok milik mangsa,” katanya.
Muhammad Rais berkata SAR pada hari ini telah diperkuatkan seramai lima anggota bomba, lima anggota polis, tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), 15 anggota Unit Keselamatan Penguatkuasan Sarawak (UKPS) dan 20 penduduk kampung.
Dalam pada itu, SAR hari ini juga turut dibantu oleh dua ekor ‘anjing Daisy’ dari Unit K9 Bomba.
Terdahulu, seorang lelaki warga emas dikenali Niang Lasa.yang berusia 75 tahun dilaporkan hilang sejak Rabu lalu di kebunnya dalam kejadian di Sungai Raya, Ibol dekat Undop.
Beliau sebelum itu sempat memberitahu keluarganya beliau mahu pergi ke kebun miliknya di Sungai Raya Ibol.
Mangsa difahamkan menghidapi sejarah sakit jantung. Semasa keluar rumah mangsa tidak menggunakan baju dan hanya menggunakan seluar panjang dan membawa parang.
Oleh Adi Safarman