PETRA JAYA: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menegaskan bahawa hak Sarawak ke atas pelantar benua di dalam sempadannya adalah hak mutlak dan tidak boleh dirunding.
Premier Sarawak berkata pelantar benua, dasar laut dan subpermukaan yang berada dalam sempadan Sarawak adalah milik Sarawak sejak pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
“Ini termaktub di bawah Artikel 47(2) Perlembagaan Negeri Sarawak seperti yang dilampirkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika menggulung perbahasan di hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri(DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan bahawa MA63 dan Akta Malaysia 1963 oleh Kerajaan United Kingdom (UK) tidak pernah memberikan hak milik ke atas tanah yang merangkumi pelantar benua Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, kata beliau, hak ini kekal sebagai milik eksklusif kerajaan negeri Sarawak berdasarkan peruntukan undang-undang.
Premier Sarawak turut menekankan bahawa sempadan Sarawak yang dilindungi di bawah Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diubah tanpa persetujuan DUN, sekali gus menjamin keutuhan wilayah negeri ini.
“Akta Pelantar Benua (Pindaan) 2009 juga dengan jelas melindungi hak negeri ke atas dasar laut dan subpermukaan dalam sempadan negeri, selaras dengan kedaulatan Sarawak,” katanya.
Abang Johari menegaskan bahawa hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas adalah sah serta berasaskan sejarah, dan ia telah diamalkan sejak zaman penjajahan British sehingga selepas merdeka.
“Sarawak mempunyai kuasa legislatif ke atas sumbernya melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Ordinan Pengedaran Gas 2016. Oleh itu, mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti eksplorasi dan pengeluaran sumber mesti mematuhi undang-undang Sarawak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang usaha untuk mencabar hak mutlak Sarawak ke atas pelantar benua dalam sempadannya adalah bertentangan dengan MA63 serta Perlembagaan Negeri dan Persekutuan.
“Kesimpulannya, hak kedaulatan Sarawak ke atas tanah, sumber dan pelantar benua telah dijamin secara perlembagaan. Sarawak akan terus bertegas mempertahankan haknya dan memastikan undang-undang negeri dipatuhi demi melindungi kedaulatan wilayah dan kawalan sumbernya,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT