SIBU: Mahkamah Majistret hari ini mengenakan hukuman denda RM10,000 atau penjara empat bulan terhadap seorang Ah Long atas pertuduhan membantu menjalankan perniagaan pinjaman wang secara haram.
Majistret Oon Kork Chern menjatuhkan hukuman itu terhadap Joseph Lau, 27, setelah mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di bawah Seksyen 29AA(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Sabit kesalahan di bawah seksyen ini hendaklah dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan pertuduhan, Lau didakwa membantu seorang pemberi pinjam wang dikenali sebagai ‘Apeng’ yang masih bebas, menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen pada 25 Julai 2021, sekitar 5.00 petang di hadapan sebuah rumah Lorong Lada 18E.
Mengikut fakta kes, pada Julai 2021, pengadu telah membuat pinjaman sebanyak RM20,000 daripada seorang lelaki Cina dikenali sebagai tertuduh.
Pengadu telah membuat pembayaran bermula Ogos 2021 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40,000 ke dalam akaun bank tertuduh.
Meskipun pinjaman telah diselesaikan, tertuduh terus memaksa pengadu untuk membuat pembayaran.
Pada 30 September 2023, kira-kira 2.00 pagi, pengadu telah dihubungi oleh ibunya mengatakan ada orang membakar sesuatu di hadapan pintu pagar rumah mereka.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan sekitar 9.20 malam pada 6 November 2024, pihak polis telah menahan tertuduh di hadapan premis restoran makanan segera di Jalan Ulu Oya.
Pemeriksaan dengan Pejabat Residen Bahagian Sibu mendapati tertuduh tidak mempunyai lesen bagi menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang.
Lau dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman minima memandangkan dia terpaksa menjaga orang tuanya, selain ibunya yang sakit.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam juga memberitahu ini adalah kesalahan pertamanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aiman Zarith Zahrullail memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada yang lain.
Oleh Akun Giman