PETRA JAYA : Kerajaan Sarawak terus mempergiat usaha membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sebagai langkah strategik untuk meningkatkan ekonomi rakyat luar bandar, selain memastikan pembangunan mampan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata setakat 7 November tahun ini, sebanyak 900,438 hektar daripada anggaran 1.5 juta hektar tanah NCR di Sarawak telah diluluskan untuk projek pembangunan pertanian, melibatkan 219,469 pemilik tanah.
Katanya, dalam usaha mempromosikan pembangunan tanah NCR, kementerian telah menerima peruntukan RM200,000 pada 2024 di bawah Program Khas Bumiputera (PKB).
“Melalui program ini, sebanyak 16 siri sesi libat urus telah diadakan, dan lapan permohonan melibatkan kawasan seluas 15,000 hektar telah dihantar untuk pertimbangan.
“Jawatankuasa sehenti dan Pasukan Petugas Negeri mengenai Pembangunan Tanah NCR bagi memastikan pembangunan tanah NCR dilakukan secara mampan dan memberi manfaat kepada pemilik tanah serta pelabur,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Stephen Rundi berkata melalui Projek Pekebun Kecil Terancang di bawah Model Pengurusan Terancang,
sebanyak 222,670 hektar tanah telah dibangunkan oleh pelbagai agensi pembangunan, melibatkan 166,217 peserta.
Katanya, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) telah memulakan projek baharu di Sarikei dan Sibu, melibatkan kawasan seluas 6,400 hektar dengan kos RM150 juta, termasuk empat lokasi utama seperti Ulu Sungai Wak, Ulu Pedanum, dan Nanga Sekuau.
“Projek ini dijangka memberi manfaat kepada 1,600 peserta dari 79 rumah panjang dan kampung. Penanaman pertama akan dimulakan di Ulu Sungai Wak pada 2024 dengan peruntukan RM2.5 juta,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT