PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak akan membina sebanyak 3,674 unit kuarters kakitangan awam di seluruh negeri terutama di Daro dan Bintulu pada pertengahan tahun depan.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, projek ini dijangka bermula serentak mengikut fasa dan pelaksanaan dalam tempoh 24 hingga 48 bulan.
“Projek perkhidmatan kuarters di Daro dan Bintulu termasuk dalam senarai keutamaan dan dijangka akan bermula pada pertengahan 2025.
“Reka bentuk perkhidmatan kuaters adalah berkonsepkan pangsapuri moden yang dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan serbaguna, kemudahan dobi, surau, dan kedai serbaneka untuk kemudahan penjawat awam.
“Kerajaan Sarawak sangat prihatin kepada kebajikan penjawat awam termasuk keperluan perumahan di seluruh Sarawak terutama sekali di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
John Sikie juga berkata tapak bagi pembinaan Pejabat Daerah Lingga dan Pejabat Daerah Kecil Maludam telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri.
“Kedua-dua projek ini dijangka bermula pada suku ketiga 2025 dan tempoh pelaksanaan projek adalah selama 24 bulan.
“Agensi pelaksana bagi kedua-dua projek ini adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal