SIBU: Seorang ibu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengabaikan dan mendera anak kandungnya sendiri.
Bibi Narcessus Dryddeen Jitai, 45, dari Sarikei, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Musyiri Peet atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bibi didakwa atas tiga kesalahan yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Pahlawan, Sibu.
Tuduhan pertama melibatkan pengabaian anak perempuannya berusia 14 tahun, apabila mangsa dihalau keluar rumah pada 15 Ogos sekitar jam 6 petang.
Bagi tuduhan kedua, dia mendera anak lelakinya berusia 11 tahun dengan memukulnya menggunakan kayu penyapu pada hari yang sama kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Tuduhan ketiga pula melibatkan tindakan melecurkan anak lelakinya itu dengan air mendidih pada 20 Oktober kira-kira jam 5 petang.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat daripada kakitangan Talian Kasih mengenai dua kanak-kanak didera ibu dan bapa tiri mereka di sebuah rumah di Jalan Pahlawan di sini pada 3 November lalu.
Bertindak atas maklumat itu, polis pergi ke lokasi untuk menyiasat dan mendapati tertuduh telah mengabaikan anak perempuannya di bawah umur dan mendera anak lelakinya secara fizikal.
Siasatan polis juga mendedahkan bahawa salah seorang mangsa menghubungi Talian Kasih untuk membuat laporan.
Musyiri menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi tiga pertuduhan itu dan memutuskan hukuman berjalan serentak bermula hari ini.
Dalam rayuannya, Bibi, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan kerana usianya dan status menganggur.
Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.
TARANI LANTING