PETRA JAYA: Seramai 6,545 orang guru telah menyertai Program Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) untuk Guru Sains dan Matematik Program Dwibahasa (DLP) di seluruh negeri sejak ia dilaksanakan pada 2019.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata setakat ini, CPD itu melibatkan guru DLP Darjah 1 hingga Darjah 5 dan akan diteruskan untuk melatih guru DLP Darjah 6 dan Tingkatan 1 pada tahun depan.
”Selain itu, kementerian saya secara konsisten bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk mereka bentuk program intervensi DLP yang disasarkan dan disesuaikan serta menyediakan sumber pengajaran dan pembelajaran tambahan untuk meningkatkan lagi keberkesanan DLP Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sementara itu, katanya, Sarawak akan melaksanakan penilaian standard untuk pelajar Darjah 6 pada 2025 manakala Tingkatan 3 pada 2028.
Objektif utama penilaian itu katanya adalah untuk menilai kemajuan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di bawah program DLP Sarawak.
Selain itu, kata Roland Sagah, penilaian standard itu juga berperanan sebagai persediaan awal bagi membantu pelajar membina kemahiran dan keyakinan yang diperlukan untuk menduduki peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
”Bagi Darjah 6, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kementerian saya, dengan kerjasama Cambridge University Press and Assessment, institusi pengajian tinggi milik Sarawak, JPNS dan sekolah swasta di Sarawak sedang membangunkan instrumen pentaksiran.
”Selain itu, Cambridge University Press and Assessment menyediakan kepakaran untuk memastikan standard kami setanding dengan penanda aras antarabangsa.
”Usaha kerjasama ini akan membolehkan Pentaksiran Penilaian Standard pertama untuk DLP Sarawak di Darjah 6 dijalankan pada 2025, meliputi mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris,” jelasnya.
Tambahnya, kohort pertama 2020 akan menduduki penilaian ini pada 2025.
Perubahan dalam sistem penilaian ini dilaksanakan selepas Kerajaan Pusat memansuhkan pentaksiran Tingkatan 3 pada Jun 2022 manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk Darjah 6 dibatalkan pada 2021.
Oleh RYNNA SHA’ERRA