KUCHING: Harapan sepasang suami isteri untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik bertukar gelap gelita apabila mereka sekeluarga lebih terbeban setelah berpindah ke bandar raya ini.
Menurut Pusat kebajikan harapan (Hope Place) Kuching, sepasang suami isteri dengan dua orang anak yang berasal dari Roban itu kini terpaksa tinggal di sebuah bilik kecil yang sempit di Bandar Baru Samariang tanpa bekalan elektrik.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, mereka sekeluarga juga bergelut dengan masalah kewangan.
”Nasib mereka bertambah menyedihkan apabila anak bongsu berusia empat tahun disahkan gagal untuk berkembang pada awal tahun ini.
”Masih belum dapat dikenal pasti puncanya, anak itu kelihatan kekurangan zat makanan namun sangat aktif,” kata Hope Place menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Hope Place lagi, sang suami sebelum ini pernah bekerja sendiri sebagai penoreh getah di Roban dan kini bekerja sebagai pekerja binaan bergaji hari serta berpendapatan di bawah gaji minimum.
Setelah pendapatan menoreh getah semakin menurun, dia membuat keputusan untuk mencari rezeki di bandar.
Bagaimanapun, berdasarkan kelayakan pendidikan yang dia miliki, satu-satunya pekerjaan yang dapat ditawarkan ialah sebagai buruh binaan.
Menyedari kepayahan yang dihadapinya, Hope Place Kuching turun padang untuk melawat dan menyerahkan bantuan kepada mereka sekeluarga setelah dirujuk oleh pekerja sosial Hospital Umum Sarawak.
Sehubungan itu, Hope Place Kuching membantu Keluarga itu dengan menyumbang makanan asas susu tepung untuk anak mereka.
”Jika sesiapa ingin membantu, anda boleh menyumbangkan susu tepung Fernleaf,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA