LUNDU: Kem Kasih Keluarga sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2024 peringkat Sarawak di Pantai Pugu di sini, berjaya menghimpunkan lebih 1,200 peserta dengan penglibatan 300 khemah dari pelbagai lapisan masyarakat, termasuk keluarga dari luar Sarawak.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, dalam ucapan penutupnya, memuji penganjuran ini kerana berjaya menyuntik elemen pendidikan dan hiburan (edutainment) melalui pelbagai aktiviti kreatif dan menghiburkan, sekali gus memupuk nilai-nilai murni kekeluargaan.
“Program ini mencerminkan usaha bersepadu dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan, sektor swasta, dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Ini selari dengan komitmen kementerian memperkenalkan dasar yang mendukung kesejahteraan keluarga, seperti pembangunan keibubapaan, sokongan untuk ibu bekerja, serta penjagaan kanak-kanak dan warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Kem Kasih Keluarga di Pantai Pugu, di sini hari ini.
Pantai Pugu yang menjadi lokasi acara dihias dengan konsep zon kekeluargaan sepanjang 1.3 kilometer, bermula dari Pantai D’Lebak Pugu hingga ke Permata Pugu.
Kawasan perkhemahan itu dibahagikan kepada tiga zon utama iaitu Zon Kasih Sayang, Zon Harmoni dan Zon Sihat.
Pelbagai aktiviti seperti Malam Kesenian Rasa Sayang, Wayang Pacak serta pertandingan mendirikan khemah dan ‘Guided Sunrise Hunting’ menyerlahkan keunikan acara ini.
Program ini turut mengetengahkan nilai K.A.S.I.H – Kasih Sayang, Amanah, Sihat, Ikhlas, dan Harmoni – sebagai panduan untuk membentuk keluarga MADANI.
Konsep ini diterjemahkan melalui aktiviti santai yang menyentuh pelbagai aspek seperti kerohanian, kesihatan, kemasyarakatan, kesenian, dan kebudayaan.
Menurut Dr. Maziah, usaha kolektif seperti ini harus diteruskan di semua peringkat, termasuk kementerian, kerajaan negeri, sektor swasta, NGO, dan komuniti.
“Setiap pihak memainkan peranan penting dalam memupuk kesejahteraan keluarga, sekali gus melahirkan masyarakat yang kukuh, harmoni, dan berdaya saing,” tambahnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT