KUCHING: Larian Takaful4All Fun Run anjuran Persatuan Takaful (MTA) sempena Karnival Celik Kewangan (KCK) di Vivacity Mall di sini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata selain mempromosikan gaya hidup sihat, larian berkenaan juga bertujuan memperkenalkan Takaful kepada masyarakat setempat.
“Berdasarkan slogan kita Takaful4All(Takaful untuk semua), Takaful bukan sahaja untuk orang Islam semata-mata, tetapi juga kepada pelbagai bangsa dan agama. Begitu juga dengan larian yang diadakan hari ini, ia terbuka kepada semua peringkat umur.
“Larian ini adalah penutup kepada bulan literasi kewangan yang biasanya dianjurkan bulan Oktober hingga November dan sempena Mega Karnival KCK. Kita bangga melihat pembabitan rakyat Sarawak, ini antara Takaful Run terbaik yang kita ada,” katanya kepada Bernama selepas acara larian itu di sini, hari ini.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata berdasarkan statistik, 84 peratus rakyat Malaysia tidak aktif atau tidak melakukan senaman secara berkala.
“PruBSN berbesar hati bekerjasama dengan MTA dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai Takaful di samping mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya.
Sementara itu MTA dalam kenyataan berkata sepanjang tiga hari Karnival Celik Kewangan berlangsung, pelbagai inisiatif diambil bagi mempromosikan kepentingan Takaful dengan memperkenalkan produk Takaful mampu milik seperti Perlindungan Tenang.
Selain itu MTA turut mengadakan program bersama komuniti iaitu Takaful Masuk Kampung di Kampung Samariang Batu, sesi T’Talk bersama Ketua Pegawai Eksekutif MTA, pelancaran MTA+ Kenyalang Chapter dan program Shape Your Future #FitFinances 3.0 yang berlangsung di Lundu.
“Melalui penglibatan aktif pada Karnival Celik Kewangan Sarawak, MTA menegaskan komitmennya menyebarkan kesedaran tentang literasi kewangan, mempromosikan Takaful sebagai alat perlindungan yang penting, dan memupuk budaya tanggungjawab pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“MTA kekal teguh dalam misinya untuk merapatkan jurang literasi kewangan dan memperkasa komuniti untuk menerima Takaful demi masa depan lebih baik dan selamat,” menurut kenyataan itu.– BERNAMA