ARLINGTON, Texas: Jake Paul mendedahkan yang dia tidak mahu menumbangkan Mike Tyson ketika kemenangannya ke atas bekas juara heavyweight dunia itu – yang jauh lebih tua daripadanya.
Bekas YouTuber yang menceburi dunia tinju amatur, Paul, 27, meraih kemenangan menerusi keputusan juri selepas bertarung lapan pusingan di Stadium AT&T semalam.
Tyson, 58, dilihat bergelut menyaingi kecergasan Paul yang 31 tahun lebih muda daripadanya.
Malah dalam 10 saat terakhir, Paul tidak meneruskan pertarungan sebaliknya memberi tunduk hormat kepada legenda tinju veteran itu.
Selepas kemenangan – kali pertama Paul gagal menumbangkan lawan selepas 10 perlawanan dalam kariernya – petinju 27 tahun itu berkata dia tidak mahu menyakiti idolanya.
“Saya mahu memberikan persembahan kepada peminat tetapi saya tidak mahu menyakiti seseorang yang tidak perlu disakiti,” kata Paul.
Pertarungan Tyson-Paul yang mendapat liputan meluas tidak berlangsung seperti diharapkan, dengan penonton mencemuh kedua-dua petinju itu selepas perlawanan.
Tyson bertarung buat pertama kali secara profesional selepas hampir dua dekad dan jelas kelihatan dia tidak mampu menyaingi lawannya yang lebih muda itu.
Petinju veteran itu hanya melepaskan 97 tumbukan dan cuma 18 kali ia mengenai Paul – kebanyakannya di bahagian badan.
Tyson bagaimanapun tidak menganggap ia adalah perlawanan terakhirnya dan dalam wawancara di atas gelanggang, dia mencabar abang Paul, Logan untuk bertarung dengannya selepas ini.