BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak merampas sebanyak 70,960,000 batang rokok seludup yang dibawa masuk dengan kontena dengan nilai dianggarkan RM6.3 juta di Pelabuhan Bintulu pada Jumaat lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, manakala duti dan cukai terlibat dianggarkan bernilai RM47.4 juta.
“Berdasarkan maklumat perisikan, kegiatan penyeludupan sejumlah rokok yang disyaki tidak lulus kastam telah berjaya dipatahkan di Pelabuhan Bintulu dengan menggunakan sebuah kapal dari Pelabuhan Klang.
“Pada 12 Jun lebih kurang jam 11.30 malam, sepasukan anggota penguatkuasaan JKDM Bintulu telah membuat penggeledahan ke atas sebuah kapal kontena yang tiba di Pelabuhan Bintulu.
“Sebelum penggeledahan dijalankan, kapten kapal telah menyerahkan satu set manifes masuk bagi 237 kontena yang akan di daratkan di Pelabuhan Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, semakan ke atas dokumen tersebut mendapati sebanyak 129 kontena tidak diikrar dalam daftar manifes masuk termasuk tujuh kontena yang disyaki mengandungi rokok putih.
“Tujuh kontena tersebut telah diarahkan untuk didaratkan di Pelabuhan Bintulu untuk pemeriksaan dan mendapati kesemua kontena tersebut mengandungi rokok putih pelbagai jenama yang dipercayai tidak lulus kastam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat perakuan tidak betul di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara untuk tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-dua sekali,” jelasnya.
Tambahnya, siasatan juga dibuat di bawah Peraturan 18, PeraturanPeraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019. Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman selaras Seksyen 19 Akta Zon Bebas 1990.
“Modus operandi mereka adalah rokok-rokok yang belum lulus kastam diangkut mengunakan kapal komersial bagi tujuan dihantar ke destinasi tertentu melalui Pelabuhan Bintulu bagi mengelakkan aktiviti dikesan, dagangan telah diikrar dalam manifes masuk sebagai general cargo dan syarikat pengimport adalah syarikat agen perkapalan berdaftar.
“Sehubungan itu, JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya lagi.
Tegasnya, JKDM Sarawak sentiasa melipatgandakan usaha bagi membanteras aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras yang tidak lulus kastam namun, aktiviti penyeludupan komoditi tersebut sukar dihentikan secara menyeluruh disebabkan pemintaan yang masih tinggi atas faktor harga jualan.
Oleh Zarina Abdullah