SIBU: Semua pemilik anjing digesa agar tidak membiarkan haiwan peliharaan mereka terus berkeliaran bagi membendung wabak rabies yang kini agak membimbangkan di Sarawak khususnya dan di Sibu amnya.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek Dato Chieng Buong Toon berkata, usaha membendung penularan wabak rabies amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak.
“Pemilik haiwan peliharaan seperti anjing perlu lebih bertanggungjawab serta tidak membiarkan anjing peliharaan bebas berkeliaran setiap masa,” katanya kepada pemberita pada program suntikan anti rabies di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sacred Heart, hari ini.
Program dianjurkan oleh Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sibu serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Assek.
Beliau turut menasihati mereka yang terkena gigitan anjing supaya mendapatkan rawatan dengan segera di pusat rawatan yang berhampiran.
“Sekiranya lewat mendapatkan rawatan, bimbang ia boleh mengancam nyawa serta menyebabkan kematian mangsa yang terlibat,” kata beliau.
Chieng turut memuji persatuan atas inisiatif menganjurkan program khidmat masyarakat yang membantu memberikan suntikan anti rabies secara percuma kepada haiwan peliharaan di daerah Sibu.
Program hari ini merupakan yang ketujuh dianjurkan oleh Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu untuk tahun ini. Program terakhir akan berlangsung di Permai pada Disember nanti.
Oleh Akun Giman