SIBU: Orang ramai digesa agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko diabetes yang kini berada tahap membimbangkan.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng berkata, menguruskan diabetes bukan hanya tentang ubat, tetapi mengekalkan amalan sihat yang akan membantu meningkatkan kualiti hidup.
“Pemakanan yang sihat, senaman yang kerap, pengurusan tekanan dan pemeriksaan perubatan yang kerap semuanya memainkan peranan.
“Marilah kita bekerjasama untuk menggalakkan kesedaran diabetes dan kesihatan jantung,” katanya semasa berucap merasmikan Hari Diabetes Sedunia 2024 di Taman Tasik Permai, hari ini.
Lau yang juga Ahli Parlimen Lanang berkata, diabetes bukan hanya satu keadaan menjejaskan gula dalam darah, ia juga menjejaskan jantung, buah pinggang, penglihatan, saraf dan banyak bahagian badan.
“Di Malaysia hampir 1 dalam 5 orang menghidap diabetes dan jumlah ini meningkat dengan hampir separuh daripada individu ini tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes.
“Bagi menyemai gaya hidup sihat, Dewan Rakyat melancarkan inisiatif Hari Tanpa Gula pada setiap Rabu,” ujarnya.
Katanya, penyakit jantung adalah punca utama kematian bagi mereka yang menghidap diabetes.
“Ini bukan sekadar statistik, ini adalah seruan untuk bertindak kepada kami.
“Ini adalah panggilan untuk meningkatkan kesedaran, menggalakkan pencegahan, menyediakan pemeriksaan awal dan sokongan untuk mereka yang sudah menghidap diabetes,” kata beliau.
Turut hadir, Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu.
Oleh Akun Giman