KUCHING: Sarawak berada di landasan tepat untuk memperoleh manfaat daripada transisi global menjadikan hidrogen sebagai bahan api utama dengan kerangka undang-undang disediakan bagi menguruskan alam sekitar sambil mengoptimumkan nilai ekonomi sumber asli.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peringkat transisi dunia telah menyaksikan kemajuan ketara dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dan menangani perubahan iklim kerana penyelidikan dan kemajuan teknologi yang berterusan akan menjadikan hidrogen sebagai sumber tenaga utama dalam dekad akan datang.
“Penyelidikan sedang dijalankan untuk mengurangkan kos pengeluaran hidrogen, dan saya fikir dalam tempoh lima hingga 10 tahun, hidrogen akan menjadi bahan api utama.
“Sebab itu kita perlu mempersiapkan diri lebih awal,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di sini, semalam.
Beliau berkata, Pindaan Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Selasa lepas akan memperluas kuasa negeri dalam menguruskan alam sekitar dan sumber asli yang luas secara mampan.
“Kami kini mempunyai mandat untuk menguruskan alam sekitar dan kami telah meluluskan undang-undang yang bermaksud 100 peratus alam sekitar berada di bawah negeri (bidang kuasa).
“Sebaik sahaja tugas dan tanggungjawab diberikan, ia menjadi tanggungjawab kami untuk melaksanakan semua agenda pembangunan dalam kerangka standard alam sekitar,” katanya.
Abang Johari berkata, perkembangan terkini dalam teknologi telah menyaksikan penggunaan mikroelektrolisis untuk menghasilkan hidrogen daripada air yang diintegrasikan ke dalam enjin automotif yang pada akhirnya boleh menjadikan hidrogen lebih mudah diakses dan mampu milik.
“Jika ini (teknologi mikroelektrolisis) berlaku (berjaya), orang ramai tidak lagi pergi ke stesen minyak untuk membeli petrol, sebaliknya membeli air (sebagai sumber hidrogen). Ini akan mengubah keseluruhan industri kenderaan dan pengangkutan awam,” katanya.
Jelasnya, Sarawak mempunyai cita-cita untuk berjaya dalam pengeluaran hidrogen yang berkait rapat dengan usaha SFC dalam memacu kelestarian dan pengurusan alam sekitar melalui pemeliharaan hutan negeri.
Ketika Sarawak bergerak ke hadapan dengan hidrogen, katanya, peranan SFC menjadi lebih penting kerana hutan yang dilindungi selama ini boleh mengurangkan kesan pertumbuhan industri, membantu negeri mencapai matlamat untuk menjadi hijau dan maju.
“Di bawah agenda pasca Covid-19 (Strategi Pembangunan) 2030, kami mempunyai tiga tonggak dan dua berkaitan dengan SFC.
“Satu ialah kemakmuran ekonomi dan satu lagi kelestarian alam sekitar dan dua tonggak ini adalah bidang yang SFC boleh menyumbang,” tambahnya. – Bernama