Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Pakistan, India isytihar darurat kesihatan
  • GLOBAL

Pakistan, India isytihar darurat kesihatan

Utusan Sarawak 6 months ago
SEORANG lelaki menunggang motosikalnya di sepanjang jalan yang diselubungi asap di Lahore, kelmarin. FotoAFP

ISLAMABAD: Wilayah paling padat di Pakistan mengisytiharkan darurat kesihatan di dua bandar utama semalam, dengan perintah sekatan pergerakan selama tiga hari seminggu susulan jerebu mengandungi toksik yang terus menyelubungi kawasan itu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Hospital-hospital diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, waktu operasi klinik dilanjutkan selama beberapa jam, dan petugas perubatan diarahkan melakukan syif tambahan di Bandar Lahore dan Multan, kata Menteri Wilayah Marriyum Aurangzeb.

Kedua-dua bandar di Wilayah Punjab, dengan jumlah penduduk melebihi 18 juta, paling teruk terjejas akibat jerebu mengandungi toksik itu yang bermula awal bulan ini, menurut Aurangzeb.

Katanya, bandar-bandar itu akan berada di bawah perintah sekatan pergerakan penuh setiap Jumaat, Sabtu, dan Ahad, tanpa sebarang aktiviti luar dibenarkan kecuali untuk perubatan kecemasan.

Langkah itu adalah sebahagian daripada beberapa tindakan yang diperkenalkan oleh wilayah terlibat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk larangan penggunaan beca bermotor, aktiviti barbeku, restoran, relau bata, dan kenderaan yang mempunyai enjin rosak untuk mengurangkan pelepasan pencemaran.

Lahore, dengan populasi lebih 13 juta, telah menjadi bandar paling tercemar di dunia sepanjang bulan ini, dengan kualiti udara diklasifikasikan sebagai berbahaya.

Beberapa bandar Asia Selatan lain, termasuk ibu negara India, New Delhi, dan Dhaka di Bangladesh, turut menghadapi masalah yang sama.

Semua pelajar sekolah rendah di New Delhi diarahkan mengikuti pembelajaran jarak jauh buat sementara waktu. Selain itu, hampir semua kerja pembinaan di dalam dan sekitar bandar itu telah dilarang, dan lalu lintas jalan raya dihadkan.

Selepas lebih dua minggu dengan kualiti udara yang secara konsisten berada dalam kategori “sangat buruk,” keadaan semakin merosot sehingga pihak berkuasa India kini mengklasifikasikan situasi itu sebagai “serius.”

Selama beberapa hari, jerebu mengandungi zarah halus, jelaga, sulfur dioksida, dan gas lain meliputi New Delhi, dengan tahap toksin yang jauh melebihi had yang dianggap selamat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa lebih 11 juta kanak-kanak mungkin berisiko mengalami masalah paru-paru di Punjab, manakala seorang menteri Pakistan berkata beliau bimbang boleh berlaku lebih 250,000 kematian yang dikaitkan dengan udara yang toksik itu.

Doktor di Lahore melaporkan mereka merawat ribuan pesakit yang mengalami komplikasi pernafasan setiap hari. – Bernama – dpa

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Tokoh terkemuka, media tinggalkan platform X susulan kemenangan Trump
Next: Hutang luar Indonesia meningkat kepada AS$427.8 bilion pada suku ketiga

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.