KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives mungkin didagangkan secara berhati-hati minggu depan berikutan kenaikan dolar AS baru-baru ini, kata seorang penganalisis.
Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, peniaga akan memantau dengan teliti sentimen pasaran selepas kejatuhan harga emas minggu ini, dengan menjangkakan pemotongan kadar Rizab Persekutuan AS yang lebih perlahan, telah menyokong kekuatan dolar AS.
“Buat masa sekarang, kami melihat ke arah sebarang kemungkinan, dengan harga minggu depan dijangka bergerak antara AS$2,540 hingga AS$2,585. Pasaran emas mungkin bersiap sedia bagi menghadapi pergolakan dan ia masih jauh dari keuntungan,” katanya kepada Bernama.
Bagi minggu baharu berakhir, niaga hadapan emas kebanyakannya didagangkan lebih rendah di tengah-tengah kemerosotan permintaan serta sentimen yang kurang bermaya, menjejaki pergerakan dalam pasaran emas COMEX AS.
Dari Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta November 2024 mengakhiri minggu ini lebih rendah pada AS$2,572.30 setiap auns troy daripada AS$2,692.70 setiap auns troy yang dicatatkan pada minggu lepas.
Sementara itu, Disember 2024, Januari 2025, Februari 2025 dan April 2025 turut ditutup lebih rendah pada AS$2,585.80 setiap auns troy berbanding A$2,705.60 pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mengecil kepada 45 lot daripada 82 lot, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 36 kontrak daripada 31 kontrak sebelum ini.
Berdasarkan penetapan petang London Bullion Market Association pada 14 November, harga emas fizikal berada pada AS$2,567.30 setiap auns troy. – Bernama