SIBU: Mahkamah Majistret hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang lelaki atas pertuduhan mengugut hendak membunuh adik perempuan serta anak saudaranya.
Tertuduh, Mohammad Hairi, 39, bagaimanapun gagal membayar denda tersebut dan diperintah oleh mahkamah menjalani hukuman penjara enam bulan.
Berdasarkan pertuduhan, Hairi didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap adik perempuan berusia 36 tahun serta anak saudaranya berusia 22 tahun pada 12 November 2024, lebih kurang 6 pagi di sebuah rumah di Jalan Teruntum, Taman Rejang.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 506 kanun yang sama.
Sabit kesalahan hendaklah dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pada 12 November 2024, lebih kurang 6.00 pagi, bertempat di rumah mereka di Jalan Teruntum, Taman Rejang, pengadu yang berusia 41 tahun dalam laporan mendakwa tertuduh telah marah dan mengugut untuk membunuh anak serta adiknya, yang juga adik perempuan tertuduh.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan pada hari sama kira-kira 12.10 tengah hari, pihak polis telah menahan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Teruntum, Taman Rejang.
Siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh telah bertengkar dengan adik perempuan serta anak saudaranya di tempat kejadian.
Tertuduh kemudian mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh kedua-dua mereka, tanpa mengira masa atau dimana-mana.
Kejadian telah disaksikan oleh kedua-dua mangsa dan kerana merasakan keselamatan mereka terancam, pengadu telah membuat laporan polis.
Oleh Akun Giman