PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak diminta agar memberi sokongan penuh terhadap Kuching City FC (KCFC) demi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negeri ini.
Royston Valentine (Telian-GPS), berkata, ‘kelab kecil berjiwa besar’ yang kini pada kedudukan kelima Liga Super Malaysia memerlukan sokongan dari kerajaan Sarawak demi melangkah lebih jauh dan mencipta lebih banyak kejayaan, malah sehingga ke peringkat Asia.
“Kita perlu memberikan sokongan penuh kepada KCFC agar mereka terus mencipta kejayaan.
“Pada masa sama, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) harus terus fokus kepada pembangunan pemain-pemain muda melalui kerjasama dengan Majlis Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
“Selain itu, penganjuran kursus berkaitan kejurulatihan, kepengadilan dan penganjuran liga tempatan di pelbagai peringkat umur untuk menghasilkan pemain-pemain pelapis yang berkualiti untuk bermain bersama Kuching City pada masa akan datang.
“Sudah pasti program ini amatlah memerlukan sokongan dana dari pihak kerajaan. Bantulah FAS dan semua Persatuan Bola Sepak bahagian dalam usaha pembangunan bola sepak Sarawak yang lebih komprehensif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025, di sini, hari ini.
Selain bola sepak, beliau menggesa agar projek fasa kedua pembinaan Stadium Mukah, termasuk pembinaan stadium tertutup, kolam renang, padang hoki, dan gimnasium, disegerakan bagi memenuhi keperluan komuniti sukan di Mukah.
Ucapan beliau turut menyentuh isu-isu pembangunan infrastruktur di kawasan DUN Tellian, seperti pembinaan jalan raya, bekalan elektrik, dan air terawat yang sering tertangguh.
Antara projek yang menjadi perhatian termasuk pembinaan jalan di kawasan Ulu Dalat dan peningkatan jalan-jalan kampung yang sempit di beberapa kampung seperti Kampung Petanak dan Kampung Sungai Pegei.
Beliau turut mengingatkan bahawa projek bekalan air seperti Loji Rawatan Air Mukah perlu dipercepatkan kerana keperluan mendesak penduduk setempat.
Oleh SHAHRUL QAIZAT