PETRA JAYA: Sarawak bakal menjadi tuan rumah EIC CONNECT Energy Borneo 2025, persidangan untuk meneroka peluang perniagaan dalam pasaran tenaga serantau, yang akan diadakan di bandar raya ini pada 25 hingga 26 Feb 2025.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata persidangan julung kali itu akan melibatkan penyertaan dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia, di samping menggalakkan kerjasama rentas sempadan untuk mempercepat peralihan tenaga di rantau Borneo.
“Persidangan ini turut mempromosikan perkongsian rentas sempadan untuk mempercepatkan landskap peralihan tenaga di wilayah Borneo.
“Persidangan ini akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Visi dan objektif persidangan ini selaras dengan matlamat Sarawak untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Nadi EIC CONNECT Energy Borneo 2025 ialah komitmen kami untuk memacu peralihan tenaga dengan lebih agresif,” katanya.
Bercakap kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini, beliau berkata persidangan dua hari itu bertemakan Net Zero as a Catalyst for Economic Prosperity, Collaborative Actions in Achieving Regional Synergies dan Strategies for Strengthening Energy Security, dengan ucapan khas daripada wakil pegawai kanan kerajaan dari negara peserta.
Persidangan yang dijangka menarik kira-kira 1,000 delegasi, akan diadakan di Hikmah Exchange Event Centre di sini, menampilkan lebih 50 sesi dengan lebih 80 penceramah dari seluruh dunia.
Perbincangan akan merangkumi pelbagai topik termasuk projek hidrogen, minyak dan gas, penyahkarbonan dalam industri hiliran, projek metanol dan inisiatif solar terapung.
Oleh Noor Ikmal