KUCHING: Industri hotel termasuk di Sarawak kini menghadapi tempoh pemulihan yang sangat mencabar.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cabang Sarawak, Ibrahim Nordin berkata, permintaan pasaran bagi hotel adalah sangat rendah sekarang
“Kami menjangkakan trend semasa akan terus memberikan kesan terhadap bisnes hotel di kawasan bandar (Urban Business Hotels).
“Mungkin terdapat sedikit kelebihan bagi permintaan untuk Hotel Resort di pantai dan taman tema,” ujarnya ketika ditemubual Utusan Sarawak berkenaan permintaan pengguna bagi hotel setelah kerajaan membenarkan pelancongan dalam negara.
Beliau menambah pada masa ini Kementerian Pelancongan Seni & Budaya (MTAC), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) dan pemain industri mempromosikan pelancongan tempatan serta domestik secara agresif.
Sebagai Ahli Lembaga Pengarah STB dan Setiausaha Agung STF, beliau percaya, tempoh pemulihan akan memakan masa enam bulan hingga dua tahun.
“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan Persekutuan untuk pakej situmalar mereka jika tidak, lebih banyak hotel telah berhenti beroperasi kerana penutupan perniagaan selama tiga bulan,” ujarnya.
Beliau memberitahu pada masa ini juga, trend perniagaan sangat perlahan dan Sarawak terutamanya mempunyai penerbangan masuk yang terhad dengan tambang yang tinggi.
“Sebilangan besar hotel beroperasi dengan hanya penghunian satu digit untuk bulan Jun. Namun pada April dan Mei, tiada langsung penghunian dan pendapatan.
“Justeru, dengan melihat keadaan beberapa bulan akan datang, trend perniagaan akan kekal perlahan tanpa pasaran orang asing & MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen & Acara). Pasaran sangat rapuh!,” jelasnya.
Beliau berkata, kini pemilik hotel serta pihak pengurusan sedang berusaha untuk kelangsungan pengoperasian.
“Kita perlu berdaya saing dan pasaran akan mengalami perang harga iklan kerana kebanyakan hotel memilih untuk merebut perniagaan dengan menawarkan pakej menarik dan bernilai untuk wang,” katanya.
Beliau mengatakan disebabkan keadaan yang melanda sekarang juga, industri hotel menghadapi perjalanan yang panjang dan berliku untuk bertahan.
Oleh Alexandra Lorna