SIMANGGANG: Pesta Ria Sri Aman 2024 yang menyingkap tirainya sejak Jumaat lalu, nyata mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk berbilang kaum di sini.
Tinjauan mendapati ratusan pengunjung membanjiri tapak pesta terbabit bermula jam 8.30 malam dengan pelbagai jenis mainan disediakan untuk mereka di situ.
Antara permainan yadalah Tunggangan Perahu ‘Pirate’, Roda ‘Ferris’, Tagada, permainan merebut hadiah, tikam air tin minuman dan mesin mainan berasaskan token.
Selain itu, pengunjung pesta ria ini juga berpeluang untuk mendapatkan pelbagai jenis produk seperti pakaian, aksesori, makanan serta minuman dan khidmat melakukan bingkai gambar.
Malah, pengunjung bersempena dengan penganjuran Pesta Ria Sri Aman 2024 ini juga disajikan dengan persembahan nyanyian oleh 24 artis rakaman Sarawak.
Seorang pengunjung, Ebit Seng, 43, menyambut baik penganjuran Pesta Ria Sri Aman 2024 kerana ia bukan sahaja memberi hiburan kepada pengunjung malah turut mempertingkatkan tahap pendapatan peniaga di sini.
“Pesta Ria Sri Aman 2024 menjadi platform kepada peniaga makanan dan minuman termasuk penjual produk pakaian selain aksesori untuk menambah pendapatan masing-masing dalam tempoh satu bulan ini.
“Justeru, kami berharap acara Pesta Ria Sri Aman dapat diadakan semula pada tahun akan datang demi menyerikan lagi suasana malam dalam Bandar Benak ini,” katanya.
Sementara itu, Ibrahim Nasir berpendapat, penganjuran Pesta Ria Sri Aman 2024 kali ini tepat pada masanya kerana ia akan berakhir serentak dengan Pesta Benak Sri Anan 2024 yang akan tamat pada 1 Disember nanti.
“Kehadiran Pesta Benak Sri Aman 2024 edisi ke-21 pada penghujung November ini sudah pastinya akan merancakkan lagi suasana kemeriahan Bandar Simanggang dalam kalangan penduduk,” katanya.
Untuk ke Pesta Ria 2024, pengunjung hanya perlu bergerak ke belakang bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sri Aman dan beroperasi dari jam 5 petang hingga 11 malam sepanjang tempoh penganjurannya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG