PETRA JAYA: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan kini sedang membangun Direktori Industri Kreatif yang dijangka siap menjelang April 2025.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan berkata direktori itu merupakan pangkalan data komprehensif semua pemain industri kreatif di negeri ini.
”Pada masa ini, direktori ini merangkumi 2,116 peserta di seluruh negeri.
”Setelah dimuktamadkan, direktori itu akan berfungsi sebagai sumber yang berharga untuk kedua-dua sektor awam dan swasta yang akan mengukuhkan industri kreatif dengan meningkatkan keterlihatan dan memupuk peluang baharu untuk kerjasama dan pertumbuhan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dato Ibrahim Baki (GPS-Satok) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, kementerian juga telah melaksanakan beberapa strategi untuk mengukuhkan industri kreatif di negeri ini dengan memberi tumpuan kepada pemeliharaan budaya, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.
”Ini dimungkinkan dengan penubuhan Majlis Seni Sarawak (MSS) di bawah Ordinan Majlis Kesenian Sarawak 2008 dan Majlis Kraf Sarawak di bawah Ordinan Majlis Kraf Sarawak 2023,” katanya.
Sementara itu, melalui geran tahunan MYSENI MSS berjumlah RM1,000,000, sebanyak 40 permohonan berjumlah RM953,000 telah diluluskan.
Katanya, inisiatif itu telah memberi manfaat kepada sembilan individu, 12 persatuan, lapan komuniti dan 11 syarikat setakat November tahun ini.
MSS katanya kini akan lebih diberi kuasa untuk memimpin, membangun dan mempertingkatkan industri kraf dengan tanggungjawab yang diperluaskan ditakrifkan dalam ordinan untuk membolehkan fungsi promosi dan pemasaran, kapasiti penyelidikan dan pembangunan serta peluang pembangunan industri mereka.
”Ini akan membolehkan tukang kraf kami mendapat manfaat dari segi ekonomi yang membolehkan industri kreatif berkembang maju dengan nama jenama Sarawak,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA