PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi telah merancang dua pelan induk untuk memastikan bekalan air dan elektrik yang mampan di negeri ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata dua pelan induk itu ialah Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak serta Pelan Induk Bekalan Elektrik Sarawak.
”Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak bertujuan untuk memperluas liputan bekalan air dan meningkatkan kecekapan pengurusan air mentah dan terawat dengan pendekatan holistik, meliputi perancangan jangka pendek dan panjang hingga 2070.
”Pelan Induk Bekalan Elektrik Sarawak pula merangkumi perancangan untuk penjanaan, penghantaran, pengagihan dan pembangunan bekalan elektrik luar bandar bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Hamzah Brahim (GPS-Stakan) di persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, kedua-dua pelan induk itu merupakan sebahagian langkah kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan kawasan perumahan yang terancang dan stabil dari segi kesesakan trafik, bekalan elektrik dan air untuk jangka masa panjang di negeri ini.
Selain itu, langkah lain termasuk merancang untuk menyediakan pelan tempatan yang akan dibuat secara komprehensif bagi bandar-bandar utama di Sarawak termasuk Pelan Tempatan Samarahan sebagai asas rujukan dan panduan dalam mengawal pembangunan tanah merangkumi aspek perumahan, jaringan jalan raya, utiliti dan sebagainya.
Menurutnya, kerajaan Sarawak turut membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien seperti Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang masih dalam peringkat pelaksanaan.
”Selain itu, kerajaan juga dalam proses penyediaan Garis Panduan Pembangunan mampan merangkumi konsep bandar pintar, bandar selamat dan bandar rendaj karbon bagi memastikan pembangunan yang komprehensif dan berdaya tahan.
”Kerajaan Sarawak juga menggalakkan penglibatan komuniti dan pemegang taruh dalam proses perancangan dan bekerjasama dengan pihak swasta untuk pembangunan infrastruktur,” jelasnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA