SERENA Williams tidak sabar untuk beraksi di Terbuka Amerika Syarikat (AS) tahun ini selepas Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) berjanji mereka mampu untuk menganjurkan dengan selamat Grand Slam pertama sejak penangguhan Covid-19.
Selepas bintang lelaki mempersoalkan mengenai kejohanan berkenaan, USTA berkata, Terbuka Amerika Syarikat akan diadakan dari 31 Ogos hingga 13 September secara tertutup di Pusat Tenis Nasional New York, yang menjadi hospital sementara untuk memerangi pandemik Covid-19 bermula April lalu.
“Saya tidak sabar untuk kembali bagi beraksi di Terbuka AS 2020. Saya rasa USTA akan menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan semua selamat. Ini memang gila, saya sangat teruja,” kata Serena.
Kejohanan di Flushing Meadows akan menjadi Grand Slam pertama sejak pandemik Covid-19 menjejaskan arena sukan seluruh dunia.
Wimbledon terpaksa dibatalkan dan Terbuka Perancis pula ditangguh sehingga September.
Gelanggang berkenaan juga akan menganjurkan Terbuka Barat dan Selatan ATP/WTA, kebiasaannya diadakan di Cincinnati.
USTA menjangkakan penurunan pendapatan operasi sebanyak 80 peratus selepas ia bakal diadakan tanpa penonton namun ia bakal menawarkan wang kemenangan sebanyak AS$60 juta (RM256 juta) bagi dua kejohanan di New York yang digabungkan termasuk tambahan AS$3.3 juta (RM14 juta) kepada ATP dan WTA.
“Kami mempunyai sumber yang mampu untuk kami anjurkan kejohanan ini sekali setiap tahun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) USTA, Mike Dowse.
Novak Djokovic adalah di antara pemain ternama yang mengkritik idea untuk mengadakan Terbuka AS seperti yang dijadualkan sebelum ini selepas impak Covid-19 yang melanda negara berkenaan, walaupun kes di New York sudah menunjukkan penurunan beberapa minggu lalu.
“Ia adalah keputusan tepat buat tenis. Peminat kami sudah tidak sabar untuk melihat pemain terbaik dunia,” kata Dowse.
Serena memburu kejuaraan Grand Slam buat kali ke-24 untuk menyamai rekod Margerat Court.-AFP