PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian Sarawak masih menguatkuasa larangan terhadap penanaman guarana.
Hal ini kerana sehingga kini, syarikat yang terlibat dalam pengimportan guarana ke Malaysia masih tidak dapat mengesahkan pematuhannya terhadap prosedur larangan yang telah ditetapkan di bawah undang-undang No.13, 123/15, 20 Mei 2015 (Access and Benefits Sharing of Genetic Resources and Associated Traditional Knowledge (ABS).
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Maclaine Ben@Martin Ben berkata, guarana atau nama saintifiknya Paullinia Cupana adalah daripada keluarga Sapindaceae manakala tanaman kopi pula adalah dari keluarga Rubiaceae.
“Oleh itu, harus ditekankan di sini bahawa tanaman guarana dan kopi adalah dua tanaman yang berbeza.
“Produk minuman berasaskan guarana sering dipromosikan sebagai ‘kopi’ guarana. Ini kerana ia juga merupakan salah satu tumbuhan yang mengandungi kafein,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi jawapan lisan Dato Paulus Palu Gumbang (GPS-Batu Danau) pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga DUN Sarawak ke-19, hari ini.
Katanya, oleh itu, secara umumnya masyarakat beranggapan bahawa guarana adalah kopi dari keluarga yang sama.
Guarana merupakan tanaman herba yang berasal dari Venezuela dan utara Brazil.
Di bawah Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 (Peraturan 7) telah menetapkan bahawa pengimportan tumbuhan dari negara endemik bagi penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (South American Leaf Blight (SALB), termasuk Brazil, adalah dilarang.
“Langkah ini diambil bertujuan menjaga kepentingan industri getah Malaysia yang bernilai lebih RM18.0 bilion setahun.
“Penyakit SALB telah menyebabkan kemusnahan pada tanaman getah di negara seperti Brazil, Columbia dan Costa Rica.
“Kerajaan Brazil dengan jelas melarang pengeksportan benih guarana untuk penanaman dan sekiranya Kerajaan Malaysia, jabatan, agensi, mana-mana syarikat atau individu membiakkan dan mengkomersialkan tanaman Guarana, Kerajaan Brazil boleh mengenakan tindakan amaran, sita dan penalti sehingga R$10 juta Real Brazil iaitu bersamaan dengan RM7.7 juta,” katanya.
Jelasnya lagi, tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal yang terlarang boleh disita, ditahan dan dihapuskan.
“Mana-mana individu yang membawa masuk komoditi terlarang ini boleh dikenakan saman tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 19A Akta 167.
“Jabatan Pertanian Sarawak juga telah membuat hebahan media mengenai isu pengimportan guarana ini melalui laman sesawang rasmi jabatan mengenai larangan penanaman guarana ini.
“Sebarang aktiviti penanaman guarana adalah dilarang sepenuhnya,” katanya.
Katanya lagi, penanaman guarana juga berisiko membawa penyakit baharu lain seperti Colletotrichum Guaranicola yang dilaporkan bukan sahaja menyerang spesies guarana, tetapi juga tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran seperti betik, pisang, mangga, dan cili.
“Buat masa ini, maklumat mengenai penyakit C. guaranicola adalah terhad maka akan menyukarkan kawalan dilakukan sekiranya serangan ini berlaku di Malaysia,” katanya.
Di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan Peraturan -peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, pengimportan tumbuhan, produk tumbuhan dan artikel terkawal seperti berikut dilarang dibawa masuk ke Sarawak selain untuk tujuan penyelidikan.
Larangan-larangan tersebut adalah seperti berikut:
i. Tanih;
ii. Tanaman dari keluarga Hevea;
iii. Tumbuhan dari kawasan American Tropics atau mana-mana negara yang mempunyai penyakit Hawar Daun Amerika Selatan (South American Leaf Blight (SALB));
iv. Tumbuhan dari kawasan Koko Afrika (endemik kepada penyakit kelapa, kelapa sawit dan koko seperti Cocoa Swollen Shoot Virus Complex, Lethal Yellowing, Kaincope, dan Cadang -Cadang Virus);
v. Perosak dan penyakit tumbuhan seperti di dalam Jadual 4 Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981; dan
vi. Tumbuhan-tumbuhan berjadual seperti di dalam Jadual 3 Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.
Oleh Nur Ain Otsman