PETRA JAYA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024.
Ia bertujuan menggantikan Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar [Bab 84] (Edisi 1958), yang telah melalui beberapa pindaan sejak 1949 untuk memenuhi keperluan pengurusan sumber dan alam sekitar yang semakin kompleks.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menjelaskan RUU ini bakal memberikan kawalan sepenuhnya kepada Sarawak dalam aspek pemuliharaan sumber asli, pengurusan alam sekitar dan pembangunan mampan.
“RUU ini menyediakan asas undang-undang yang moden dan komprehensif untuk Sarawak mentadbir dan melindungi alam sekitar, sejajar dengan piawaian global dalam usaha mencapai pembangunan lestari,” katanya ketika menggulung perbahasan.
Awang Tengah berkata dengan pindaan itu, Sarawak sekali gus mendapat kuasa untuk menguatkuasakan piawaian kualiti udara, air, dan tanah bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar yang lebih sihat, bersih dan selamat.
“Dengan kawalan penuh terhadap sumber asli dan alam sekitar, Sarawak dapat merancang projek pembangunan sosioekonomi secara mampan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“RUU ini hadir tepat pada waktunya, memastikan bahawa projek transformasi sosioekonomi dapat dilaksanakan dengan lebih lestari,” katanya.
Oleh Noor Ikmal