SALAH satu kawasan penempatan di Kuching yang mengalami limpahan pembangunan dan kemajuan dari bandaraya tersebut adalah Petra Jaya.
Sebahagian dari kawasan ini adalah Matang.
Dalam rekod kerajaan Brooke, Matang hanya dirujuk sebagai kawasan penanaman getah, teh dan kopi. Matang juga menjadi kawasan membekal air bersih ke Bandar Kuching.
Selain itu, terdapat kampung-kampung Melayu yang menghiasi kawasan pesisir Sungai Sarawak dan pedalaman di kawasan tersebut.
Kerajaan Brooke juga membina Astana dan Fort Margherita di seberang Sungai Sarawak berdepan dengan Bandar Kuching.
Pembinaan jambatan gantung (1926) yang asalnya dibina seiring dengan saluran bekalan air ke Kuching memudahkan pergerakan penduduk pergi balik dari Kuching ke Matang.
PEMBINAAN
Keadaan Matang dan sekitarnya tidak banyak berubah walaupun Sarawak mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia pada 1963.
Pembangunan Matang dan kawasan sekitarnya mula dikenal pasti oleh Ketua Menteri Sarawak ketiga iaitu Datuk Patinggi (Tun) Abdul Rahman Ya’akub.
Apabila pertama kali memegang jawatan Ketua Menteri pada 1970, beliau mula memikirkan untuk memajukan kawasan seberang Sungai Sarawak.
Beliau merasakan bahawa pembangunan di Daerah Kuching hanya tertumpu kepada Bandar Kuching sahaja, dan meninggalkan kawasan seberang sungai yang ditumbuhi dengan hutan belukar dan getah tua. Harapan besar Abdul Rahman Ya’akub ketika itu kepada pembangunan seberang sungai yang dikenali sebagai ‘tanah seberang’ adalah menjadikan kawasan tersebut sebagai bandar satelit.
Untuk memulakan pembangunan di kawasan itu, Abdul Rahman Ya’akub telah meminta satu kajian menyeluruh dilakukan bagi membangunkan kawasan seberang Sungai Sarawak yang dinamakannya sebagai Petra Jaya.
Nama Petra Jaya diambil sempena nama Yang di-Pertuan Agong Malaysia Keenam iaitu Tuanku Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim.
Firma perunding dari England telah dipanggil untuk menjalankan tinjauan tersebut.
RANCANGAN PEMBANGUNAN
Menerusi dapatan daripada firma perunding ini, usaha awal membangunkan Petra Jaya adalah menghubungkan Petra Jaya dengan Kuching.
Walaupun telah ada jambatan gantung yang merentangi kedua-dua kawasan, ia belum cukup membantu pembangunan Petra Jaya.
Oleh itu, satu jambatan baharu yang membolehkan kenderaan ringan dan berat telah dibina pada 1974.
Apabila ia siap dibina, jambatan ini dinamakan sebagai Jambatan Abdul Rahman Yaákub.
Petra Jaya juga dijadikan pusat pentadbiran baharu bagi negeri Sarawak.
Dalam merealisasikan usaha ini, maka pihak kerajaan Sarawak telah merancang untuk membina kompleks pentadbiran kerajaan negeri.
Usaha ini dimulakan sejak 1974 ke atas tanah seluas sekitar 90 ekar.
Kompleks kerajaan ini hanya siap pada Ogos 1976.
Kompleks kerajaan ini mengandungi beberapa bangunan kerajaan.
Antara bangunan ini ialah sebuah bangunan pencakar langit yang mempunyai 20 tingkat dinamakan sebagai Wisma Bapa Malaysia.
Bangunan ini menjadi pusat pentadbiran yang menempatkan kakitangan kerajaan Sarawak.
Selain itu, terdapat sebuah bangunan tiga tingkat yang dikhaskan untuk persidangan Dewan Undangan Negeri.
Sebuah bangunan kecil iaitu Lapau juga telah dibina.
Bangunan ini mempunyai fungsi tersendiri kerana ia merupakan tempat menganugerahkan pingat dan bintang kebesaran Sarawak.
Lapau ini juga digunakan untuk upacara angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak.
Satu lagi usaha kerajaan untuk membangunkan Petra Jaya adalah untuk mendirikan kawasan perumahan.
Usaha ini digerakkan oleh Suruhanjaya Perumahan dan Pembangunan Sarawak.
Pelan pembangunan untuk membina kawasan perumahan ini telah dirasmikan pada 28 April 1979.
Rancangan yang dikenali sebagai Rancangan Perumahan Rakyat ini dinamakan sebagai Kampung Malaysia Jaya.
Kampung ini dibekalkan dengan pelbagai kemudahan untuk dinikmati oleh penduduk yang akan mendiami kawasan perumahan tersebut.
PENDIDIKAN
Dalam aspek pendidikan, Petra Jaya telah memiliki beberapa sekolah rendah yang telah dibina sebelum berlaku pembangunan di kawasan tersebut.
Sekolah ini ialah Sekolah Rakyat Tupong dan Sekolah Rendah Encik Buyong serta Sekolah Rendah Astana.
Pada 1970, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg pula muncul.
Kemudian ia diikuti dengan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Petra Jaya pada 1980-an.
Pada 1972, satu rancangan telah dibuat untuk membina kolej di Petra Jaya menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Kedua.
Kolej ini siap dibina pada 1978, dan dinamakan sebagai Kolej Datu Abang Haji Abdillah.
Salah satu institusi pengajian tinggi yang pernah didirikan di Petra Jaya khususnya di Samariang adalah Institut Teknologi Mara (ITM).
ITM yang didirikan di tapak keduanya di Semengok telah dipindahkan ke Samariang pada 1989.
Selepas itu, ITM telah dipindahkan ke kampus tetapnya di Kota Samarahan.
Pada hari ini, pembangunan pendidikan di Petra Jaya pada tahap yang pesat. Beberapa sekolah berprestij tinggi telah didirikan seperti Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (SAKURA), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abd Wahab dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuching.
Salah satu lagi mercu tanda pendidikan di Petra Jaya adalah Politeknik Kuching yang terletak di Jalan Matang.
Pembangunan pendidikan di Petra Jaya ini diperkasakan lagi dengan terdirinya Pustaka Negeri Sarawak.
Perancangan Pustaka Negeri Sarawak ini diperhebatkan dengan usaha membina bangunan untuk arkib negeri Sarawak.
KEROHANIAN DAN RIADAH
Petra Jaya tidak meninggal nilai-nilai agama kerana sejak mula diwujudkan, sudah ada beberapa rumah ibadah umat Islam.
Pada 1990, telah terdiri Masjid Jamek Negeri Sarawak yang mempunyai fungsi yang besar kepada umat Islam di Petra Jaya.
Yang terbaharu pula adalah terdirinya Masjid Darul Hana Kampung Seberang Hilir.
Selain rumah ibadah orang Islam, terdapat sebuah gereja di Kampung Siol Kandis iaitu Gereja St Paul untuk masyarakat Kristian.
Petra Jaya juga menjadi pusat kegiatan sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Ini kerana kemudahan sukan telah dibina di Petra Jaya dengan ada stadium terbuka dan tertutup.
Petra Jaya pernah menjadi pusat penganjuran SUKMA sebanyak tiga kali.
Hari ini, Petra Jaya yang dahulunya hutan belukar dengan tinggalan pokok getah telah membangun dengan pesat.
Pembinaan Metro City menjadi lambang terbaharu kepada kemajuan Petra Jaya.
Kawasan perumahan baharu yang dinamakan Darul Hana merupakan antara pembangunan perumahan terkini dilakukan oleh pihak kerajaan Sarawak.
Selain itu, Petra Jaya boleh dihubungi dengan beberapa jambatan baharu.
Antara yang paling unik adalah Jambatan Darul Hana yang menjadi kawasan pelancongan di bandar raya Kuching.
Di kawasan berdekatan pula terdapat Kompleks Dewan Undangan Negeri terbaharu Sarawak.
Petra Jaya juga menjadi penghubung kepada Santubong apabila sebatang jambatan dibina merentasi Sungai Santubong.
Sejak pembinaan Petra Jaya hingga kini, banyak lagi kemajuan dicapai di kawasan satelit tersebut.
Oleh itu, banyak lagi perkara tentang pembangunan di Petra Jaya boleh dibicarakan.
Untuk dekad-dekad mendatang, Petra Jaya akan terus maju dengan pelbagai kemudahan dan pembangunan.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).