Sebutir Nasi Segunung Pesan
Sebutir nasi di tepi pinggan
rajuknya menyingkir teguk
ayah merenung keras
seraya singgah cubitan ibu
terasa tajam denyutnya
kerana sisa aku terseksa
lalu kukutip dan kukunyah
sempat kulontar rajuk manja
namun tidak bersambut
persoalan kupendam
berbenih dendam
dewasa ini
acap kali kusuap rezeki
terbayang renungan ayah
terasa jentikan jemari ibu
seperti memberi pesan
mendesakku lebih teliti
agar denyutnya tidak terasa lagi
kini kusedar
teguran tanpa suara
membongkar sejuta pesan
berisi nasihat bermakna
tanda syukur kepada Maha Pemberi
walau hanya sebutir nasi
Ramzi Junai
14/08/24
SK Orang Kaya Muda Pakeri
Kopi dan Hati
Kopi itu hitam
Pekat baunya
Semerbak aromanya
Membangkit deria minda
Hati yang hitam
Busuk menanah
Jijik meloya
Pemilik yang terkhilaf
Bicaraku ini
Mengalun metafora
Hirupan nikmat kopi
Mendamba hati suci
William Muge Anak Acheh
SMK Matang Hilir
Keluh dalam Resah
Saat diri resah
engkau mengeluh
bagai tiada jalan penyelesaian
engkau kaburi air mata
dengan peluh keresahan
lalu menyusun kata-kata
bagai lupa akan pencipta.
Mungkin kau lupa
muhasabah lalu bersujud
meluahkan kepada-Nya
lalu memohon pertolongan
untuk belajar erti sabar dan redha
berserah bukan mengalah
kerana hidup bertemankan pencipta
akan membuat dirimu tenang walau dalam resah.
Muhammad Aniq
Jalan Cahaya 4, Miri