Oleh: Abang Median Abang Said
MENURUT A. Teeuw, karya sastera ialah artifak, benda mati dan akan mempunyai pengertian dan objek estetik apabila diberikan makna oleh pengkritik dan juga pembaca, persis artifak peninggalan manusia purba yang mempunyai nilai apabila diberikan makna oleh ahli arkeologi. Istilah pemberian makna ini disebut oleh A. Teeuw sebagai naturalisasi yakni usaha untuk mengembalikan yang menyimpang kepada yang jelas agar difahami serta dihayati oleh pembaca. Faktor pembaca menjadi penting sebagai pemberi makna. Status baharu kepada pengkritik atau pengulas ialah sebagai pembaca. Hawkes mengatakan bahawa pengkritik atau pengulas tidak hanya pasif di hadapan karya tetapi perlu aktif memberikan makna pada karya yang dibaca.
Dalam memberikan makna kepada karya sastera, pembaca tidak hanya terikat pada teks sastera berkenaan sebagai sistem tanda yang mempunyai konvensi sendiri berdasarkan kudrat karya berkenaan. Preminger (1974) menjelaskan bahawa makna karya itu ditentukan oleh dua aspek. Pertama, melalui sejarah dan latar belakang sosial budaya yang menjadi cerminan kepada karya berkenaan. Aspek yang kedua ialah melalui bahasa yang menjadi medium menyampaikan makna. Persoalan yang digarap oleh pengarang, binaan plot dan gaya penceritaan tidak akan memberikan nilai makna jikalau bahasa yang menjadi mediumnya itu lemah. Makna dari unsur-unsur karya sastera itu hanya dapat difahami dan dinilai sepenuhnya atas dasar pemahaman tempat dan fungsi unsur-unsur itu secara menyeluruh. Kupasan kali ini cuba menilai tentang rincian struktur cerpen “Brayun” karya Benjamin Asin untuk menilai kejelasan maknanya.
Cerpen “Brayun” memaparkan amalan budaya dan adat resam masyarakat kaum Bidayuh yang tinggal di Kampung Serasot, iaitu tempat tinggal nenek Kayla. Brayun itu sendiri memberikan makna kepada watak Kayla yang pada mulanya bosan dengan persoalan budaya yang menurutnya umpama “mencari sesuatu yang sudah berlalu menghilang bagaikan mengejar air sungai yang mengalir ke muara, banyak masa yang terbuang secara sia-sia.” Falsafah dan perumpamaan yang dipilih oleh pengarang pada permulaan cerpen ini sangat bernilai dan memberi makna yang mendalam kepada pembaca.
Kayla cuba mendalami muzik tradisi Bidayuh yang sangat signifikan dengan brayun. Apakah makna rima, bunyi dan seni kata yang tersusun dalam brayun? Perkara inilah yang ingin dikupas oleh pengarang melalui cerpen ini untuk menyerlahkan budaya masyarakat Bidayuh. Kayla mengambil tanggungjawab untuk cuba mendokumentasikan keistimewaan brayun kerana ramai yang beranggapan bahawa elemen budaya dan sejarah tidak memberikan makna atau nilai ekonomi kepada hidup mereka. Brayun tidak diketengahkan melalui media sosial seperti Tiktok dan Youtube sehingga tidak diketahui oleh generasi baharu – begitu yang cuba disampaikan oleh pengarang dalam cerpen ini. Perkara inilah yang dikesali oleh watak Sinok Jamen, iaitu nenek kepada Kayla.
Dalam cerpen ini, pengarang memberikan gagasan tentang peranan yang perlu dimainkan oleh generasi muda untuk menulis dan memperkenalkan brayun – seni lagu tradisi Bidayuh peninggalan nenek moyang mereka dahulu. Semua kelompok masyarakat tidak kira tua atau muda harus peka dengan sejarah budaya yang disampaikan melalui mulut ke mulut supaya budaya berkenaan tidak hilang begitu sahaja. Maknanya, perlu ada usaha untuk mendokumentasikan kesenian masyarakat Bidayuh yang begitu berharga itu.
Kearifan lokal yang dimiliki oleh hampir setiap etnik tampak secara nyata dalam bahasa sukuan masing-masing. Kearifan lokal inilah yang menjadi cultural maxims, yang menurut Effendi Kadarisman (2009) berupa nilai budaya yang dihargai masyarakat serta meresap dan berakar dalam bahasa yang menjadi sebuah praktis sosial. Bahasa menjadi media untuk menghimpun, menyebarkan dan mewariskan pengetahuan. Bahasa juga menjadi wadah penyimpan informasi yang berkembang secara simbiosis dengan budaya. Perkara inilah yang cuba dilakukan oleh Kayla untuk mendokumentasikan kearifan lokal berkenaan.
Cerpen ini sendiri sebenarnya adalah merupakan satu dokumentasi terhadap brayun yang dinyanyikan oleh nenek Kayla yang digelar Ayun Inyuok dalam keadaan air matanya yang menitis. Brayun selalunya dinyanyikan oleh seorang penyanyi sahaja. Namun begitu, brayun juga boleh dinyanyikan oleh dua orang atau lebih individu terutamanya ketika berlangsungnya sesuatu perayaan atau majlis keramaian. Pengarang turut melontarkan kebimbangan Kayla sama ada dia mampu mengalunkan brayun mengikut ‘kepekatan nada yang tidak rasional kelak’. Frasa tersebut gagal memberi makna kepada pembaca untuk memahami konflik yang berlaku kepada Kayla. Frasa tersebut agak kabur untuk difahami dan dibaca tentang makna yang hendak disampaikan.
Banyak informasi tentang budaya telah dimasukkan oleh pengarang dalam cerpen ini seperti wujudnya percampuran bahasa dalam brayun yang menerima kemasukan bahasa Melayu standard, dialek bahasa Melayu Sarawak, bahasa Iban dan bahasa-bahasa lain dalam lagu-lagu tersebut. Malahan brayun dikatakan memiliki lirik yang lebih kepada campuran bahasa Iban dan bahasa Bidayuh yang akan mempelbagaikan rima, bunyi dan makna tertentu; dianggap sebuah sajak panjang yang menceritakan kisah percintaan masyarakat Bidayuh pada zaman dulu-dulu.
Menurut Geertz (1992), kesusasteraan lokal boleh menjadi simbol representasi kultural dan ekologi daripada realiti yang disesuaikan dalam konteks masyarakat, waktu dan tempat, hubungan dengan cara berfikir dan cara bertindak. Ketika kesusasteraan lokal seperti brayun difahami sebagai wadah jagat makna yang diverbalisasikan dalam kehidupan budaya, terdapat dua kata kunci yang perlu dipersepsi secara kolektif dalam dinamika budaya. Pertama ialah melalui makna, iaitu isi daripada pandangan hidup orang yang menamakan diri mereka sebagai penghayat. Dalam konteks cerpen ini, peranan tersebut dimainkan oleh Sinok Jamen.
Kedua, nilai pada budaya itu yang dipandang berharga sehingga layak dipertahankan mulai daripada yang instrumental (alat, sarana) sehinggalah merujuk kepada tujuan. Dalam konteks cerpen ini, nilai itu merujuk kepada kehidupan masyarakat Bidayuh yang tinggal jauh di atas bukit dan brayun telah dicipta untuk dinyanyikan sebagai satu hiburan. Semua ini memberikan nilai tambah kepada cerpen ini dan juga kepada brayun itu sendiri (sajak panjang dan seni lagu masyarakat Bidayuh) yang menjadi sarana untuk menyampai perasaan melalui karya.
Pada bahagian awal cerpen ini, pengarang hanya cuba memasukkan tentang kearifan lokal dan budaya masyarakat Bidayuh melalui penghasilan brayun yang mempunyai fungsinya yang tersendiri. Kemudian, barulah pengarang memasukkan watak Lije, iaitu ibu Kayla yang menyatakan bahawa brayun tidak lagi sesuai dengan zaman sekarang. Dia tidak mahu Kayla mendalami tentang brayun. Pengarang telah mengetengahkan konflik antara Kayla yang tersepit antara emaknya – Lije dan juga Sinok Jamen – neneknya. Semua konflik itu berpusatkan tentang brayun yang dijadikan simbol oleh pengarang untuk merungkai tentang cara berfikir masyarakat dan kaitannya dengan budaya.
Ada beberapa kritikan sosial yang cuba diketengahkan oleh pengarang. Antaranya ialah pertentangan atau konflik antara golongan tua yang turut memberikan kesan sampingan dan kesan emosi kepada generasi muda. Paradoks dalam cerpen ini ialah penentangan itu bukan dilakukan oleh Kayla tetapi Lije yang sepatutnya menjadi jambatan atau sarana kepada pengembangan budaya yang berterusan. Di sinilah keupayaan pengarang diuji untuk menyusun dan membina plot cerpen berkenaan.
Pembaca bukan hanya sebagai pemberi makna kepada sesebuah karya, malahan pembaca juga mahukan makna atau kejelasan melalui karya berkenaan. Setidak-tidaknya, karya berkenaan akan merangsang daya fikir pembaca untuk menghubungkan titik makna antara watak-perwatakan dan plot. Mengapa Lije mengatakan brayun tidak lagi sesuai dengan zaman sekarang? Tidakkah brayun itu hanya merupakan sajak panjang dan seni lagu masyarakat Bidayuh yang digunakan sebagai hiburan dan meluahkan fikiran? Apa yang tidak relevannya? Persoalan ini penting kepada pembaca untuk memberikan ‘makna’ kepada pembaca seperti yang telah dirincikan pada awal ulasan ini.
Adakah perkara ini telah dijawab oleh pengarang melalui penyusunan dan pembinaan plotnya? Ya, pengarang telah cuba merungkaikan persoalan tersebut tetapi ada banyak lagi kelompangan lain yang timbul sehingga gagal memberikan makna kepada pembaca. Alasan yang diberikan oleh pengarang tidak kukuh sehingga melunturkan kualiti karya melalui susunan plot cerpen berkenaan. Cuba hayati alasan yang telah diberikan oleh pengarang :
“Kayla, kamu tidak tahu duit itu yang menyebabkan nenek kamu retak rumah tangga dan berpisah dengan datukmu. Akibat itu juga, keluarga kita dibenci oleh penduduk kampung. Ibu tidak mahu kamu seperti nenek kamu. Ibu masih sayang kamu, Kayla. Ibu tidak mahu kita bersengketa sesama sendiri disebabkan oleh brayun.”
Setelah kematian neneknya, Kayla telah dapat menarik perhatian masyarakat termasuk masyarakat luar negara untuk mendekati dan memahami tentang keindahan seni lagu tradisi Bidayuhmelalui pengendalian media sosial miliknya. Ramai yang berkunjung ke rumah banglo milik Lije untuk mendengar sendiri Kayla mengalunkan brayun di hadapan mereka. Ramai yang menghulurkan sumbangan wang kepada Kayla dan perkara inilah yang dipersoalkan oleh Lije. Pengarang gagal memberikan ‘makna’: Apakah nilai ekonomi melalui kebudayaan itu merupakan satu kesalahan? Apa kaitan keruntuhan rumah tangga neneknya dengan brayun ? Adakah perpisahan nenek dan datuknya mendatangkan kebencian kepada penduduk kampung?
Pembaca akan tertanya-tanya sehingga timbul kontradiksi dalam pemikiran pembaca bahawa nilai ekonomi merupakan sesuatu yang terpisah dengan nilai budaya. Tidakkah orang yang menghasilkan barangan seni terutama dalam dunia moden kini adalah untuk dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa? Lihat sahaja bagaimana batik, songket dan ukiran telah memberikan nilai tambah kepada hasilan seni berkenaan. Begitu juga dengan pemain alat muzik tradisional yang menetapkan kadar upah tertentu untuk menunjukkan penghargaan kepada nilai seninya.
Jadi apa kurangnya brayun? Malah melalui cerpen ini juga dijelaskan bahawa pembinaan rumah banglo yang mereka duduki sekarang adalah hasil perolehan daripada brayun yang kerap dinyanyikan semasa perayaan Gawai dan akan diikuti dengan pantang selama empat malam berturut-turut. Semua ini menimbulkan gangguan persepsi kepada penyusunan plot cerpen berkenaan. Mungkin juga apa yang ingin diketengahkan oleh pengarang tidak sampai kepada pembaca. Cuma pengarang perlu lebih merincikan perkara ini untuk mewajarkan penyusunan plot cerpennya. Dari sudut yang berbeza, pengarang ingin menyatakan bahawa penekanan kepada aspek materialistik telah meruntuhkan nilai budaya dan hubungan kekeluargaan itu sendiri sehingga menyebabkan perceraian yang dijadikan simbol kepada perpecahan yang lebih besar. Jikalau pengarang dapat merincikan perkara ini dalam cerpennya, pasti cerpen ini akan lebih memberikan makna dan nilai konkrit kepada pembaca seperti yang digariskan oleh Preminger.
Jikalau itulah leitmotif yang cuba disisipkan oleh pengarang, tentu masih wujud lagi kontradiksi melalui pandangan Sinok Jamen yang telah memberikan peringatan kepada Kayla supaya tidak menjual budaya. Dialog yang diucapkan oleh Sinok Jamen telah memberikan kejelasan tentang perkara tersebut:
“Kayla, jagalah seni brayun ini sebaik mungkin sehingga ke akhir hayat. Jangan sekali-kali melupakan asal-usulnya sehingga jatuh ke tangan sesiapa pun dalam apa-apa keadaan sekali pun” pesan neneknya lagi.
Sinok Jamen mahu Kayla mengekalkan budaya masyarakat Bidayuh yang halus hasil daripada kreativiti dan daya cipta yang tinggi serta memiliki unsur-unsur moral, pendidikan, nilai hormat-menghormati, taat setia, kesederhanaan, rendah diri dan pelbagai lagi.
Pertindihan makna yang ingin disampaikan oleh pengarang menyebabkan pembaca melihat kecelaruan pada perwatakan dan juga jalinan plot yang disusun atur oleh pengarang. Idea pengarang yang segar untuk mengarang tentang budaya brayun ini perlu diselarikan dengan penyusunan plot yang teratur. Jikalau pengarang ingin menjadikan penyusunan itu sedikit rencam, tidak menjadi kesalahan asalkan masih mampu menyampaikan makna kepada pembaca.
Antara kritikan sosial yang cuba diselitkan oleh pengarang dalam cerpen ini ialah apabila budaya boleh menjarakkan hubungan sebuah keluarga disebabkan penerimaan yang berbeza-beza. Hubungan antara Sinok Jamen dan Lije renggang disebabkan oleh brayun biarpun tidak dirincikan dengan jelas oleh pengarang. Malahan kehadiran orang asing yang silih berganti berkunjung ke rumah Lije untuk mempelajari brayun turut telah membantutkan hasrat Kayla untuk mendekati ibunya.
Cerpen diakhiri dengan kebimbangan watak utama cerpen berkenaan yang juga merupakan kebimbangan pengarang tentang kemungkinan brayun akan dilupakan. Perkara ini dijelaskan oleh pengarang melalui berkias tatkala pelawat dari luar semakin kurang berkunjung ke rumah banglo Lije. Cerpen ini diakhiri secara tergantung oleh pengarang apabila Kayla belum lagi berdamai dengan pandangan ibunya yang tetap hambar dengan brayun. Masih wujud pertentanganpersepsi antara dua anak-beranak berkenaan. Kayla masih sayangkan seni tradisi budaya Bidayuh berbanding ibunya. Kayla mengakui pendapat ibunya bahawa aktiviti brayun pasti akan dilupakan. Namun sepatutnya mereka tidak perlu beralah untuk terus memperjuangkan kearifan lokal berkenaan.
Secara keseluruhannya, cerpen “Brayun” telah berjaya memberikan makna dan pengetahuan lokal kepada pembaca. Pengarang berjaya mencipta dunia baharu dan menjadi cermin kenyataan dengan corak yang tersendiri. Dengan karya ini, pembaca telah memperoleh pengetahuan, pemahaman dan pengalaman tentang budaya masyarakat lain. Pengarang juga semakin menunjukkan peningkatan dari aspek pengolahan bahasanya berbanding dengan cerpen “Kepompong Maya” yang ditangani sebelum ini. Pengolahan bahasa yang lancar telah menyebabkan karya ini menarik untuk dibaca sehingga pesanan, nilai dan makna karya tersebut berjaya dinikmati oleh pembaca.
Antara kelebihan Benjamin Asin sebagai pengarang ialah dari aspek tema dan mauduk lokal yang dimasukkan ke dalam karyanya. Perkara ini perlu digilap dari semasa ke semasa melalui pembacaan agar pengolahan cerita tidak kaku atau menggunakan teknik yang sama sahaja. Kelebihan pada karya sebegini ialah akan menjadi dokumentasi kreatif untuk memberi nilai tambah dan makna kepada pembaca. Tentu banyak lagi aspek kearifan lokal yang boleh diterjemahkan oleh pengarang untuk menjadi idea kreatif.
Apa yang pasti, pengarang mempunyai potensi yang sangat menjanjikan sebagai penulis masa depan di negeri Sarawak ini. Semoga terus menulis dan membaiki karya tanpa jemu – jangan seperti Kayla yang kadangkala jemu dengan kata-kata neneknya – Sinok Jamen. Jadikan aktiviti penulisan sebagai budaya agar tidak berkubur tanpa nisan persis brayun yang merupakan nilai seni sastera masyarakat Bidayuh yang perlu dipertahankan.
Bak kata Robert Duncan – seorang penulis Amerika : Menulis adalah satu cara untuk memangkas bahagian permukaan segala sesuatu untuk menjelajahi atau memahami banyak hal.
Buat Benjamin Asin: Tahniah kerana berjaya mengkonkritkan budaya melalui sastera!