PETRA JAYA: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pengagihan Gas 2024 dilihat sebagai pemacu utama pembangunan sosioekonomi Sarawak melalui pengukuhan industri hidrogen.
Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murum) berkata RUU ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju tenaga bersih malah membuka peluang besar dalam penciptaan pekerjaan dan pelaburan.
“Melalui undang-undang ini, kita berupaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam industri hidrogen dan menarik minat pelabur luar, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri,” katanya sambil menyatakan sokongannya terhadap pindaan RUU tersebut.
Dalam pada itu, Azizul Annuar Adenan (GPS-Tanjung Datu), mencadangkan empat langkah utama bagi memastikan pengawalan teknologi hidrogen yang berkesan di Sarawak.
Langkah pertama katanya, adalah pensijilan, termasuk pensijilan jejak karbon dan pengesanan tenaga hijau, yang penting untuk memastikan kelestarian projek.
“Langkah kedua ialah penilaian tapak dan kajian impak alam sekitar, yang diperlukan bagi mengenal pasti risiko awal. Langkah ketiga melibatkan pemantapan rantaian bekalan global yang stabil untuk pengangkutan hidrogen, sama ada dalam bentuk gas atau cecair.
“Langkah terakhir adalah memastikan proses pembinaan yang selamat dan tepat masa, merangkumi pemantauan keselamatan serta pengawasan kualiti,” katanya.
Azizul Annuar menegaskan bahawa pindaan ini akan memberi Sarawak kawalan penuh terhadap keseluruhan proses penghasilan dan pengurusan hidrogen, di samping melindungi teknologi yang dimulakan oleh negeri itu.
“Kita tidak mahu pihak ketiga menuntut pemilikan atau mengenakan tuntutan tidak wajar terhadap teknologi ini. Sarawak merupakan pelopor dalam teknologi hidrogen di rantau ini,” katanya, sambil menegaskan bahawa pindaan ini adalah langkah penting dalam memastikan Sarawak terus memimpin dalam bidang tenaga hijau.
Sementara itu, Chieng Jin Ek (GPS-Bukit Assek) berkata, sumber kuasa hidro yang melimpah di Sarawak memberikan kelebihan unik kepada negeri ini untuk mewujudkan hab hidrogen hijau yang bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah selaras dengan Pelan Peralihan Tenaga Nasional Malaysia.
Katanya, pindaan terhadap RUU ini penting untuk mengawal selia pengeluaran, pengedaran dan aktiviti berkaitan hidrogen di negeri ini.
“Langkah strategik ini akan membantu melindungi sumber, memastikan keselamatan dan memaksimumkan faedah daripada ekonomi hidrogen yang sedang berkembang di Sarawak.
“Dengan memperkenalkan undang-undang pertama yang secara khusus tertumpu kepada hidrogen, ia mencipta sejarah kepada kita. Dengan rangka kerja pengawalseliaan ini, Sarawak akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk menarik pelaburan, menggalakkan inovasi dan menyokong kemajuan dalam teknologi hidrogen.
“Dari elektroliser, sel bahan api dan sistem penyimpanan tenaga, sektor hidrogen mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan pembangunan mampan,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT