PETRA JAYA: Salah satu aspek penting dalam pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 adalah mengenai proses permohonan
lesen.
Royston Valentine (GPS-Tellian) berkata, dengan memperkenalkan Seksyen 19B dalam pindaan itu, tiada individu atau entiti boleh menjalankan aktiviti berkaitan hidrogen tanpa lesen dikeluarkan oleh pengawal yang telah diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan hal ini.
“Proses ini akan memastikan bahawa semua aktiviti berkaitan hidrogen dilakukan dengan mematuhi peraturan ketat dan tersusun, sekali gus melindungi kepentingan awam dan alam sekitar yang sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Sarawak,” katanya katanya membahas RUU Pengagihan Gas (Pindaan) 2024 di sidang DUN hari ini.
Beliau berkata bagi Seksyen 19C dalam pindaan ini pula menetapkan keperluan khas yang perlu dipatuhi oleh pemohon untuk mendapatkan lesen berkaitan aktiviti penghasilan dan pengedaran hidrogen.
Seksyen ini bertujuan untuk memastikan bahawa semua operasi berkaitan hidrogen dilakukan dengan mematuhi peraturan yang telah digariskan demi keselamatan, kesihatan, dan perlindungan alam sekitar sambil
membolehkan perkembangan mampan industri hidrogen di Sarawak.
Justeru katanya, dengan memastikan pematuhan kepada keperluan ini, kerajaan Sarawak akan dapat mengawal selia aktiviti pengeluaran dan pengedaran hidrogen dengan lebih berkesan, sekali gus menyokong matlamat kelestarian dan inovasi dalam sektor tenaga bersih.
Pindaan ini juga katanya memperkenalkan definisi baru seperti ‘fasiliti penghasilan hidrogen’ dan ‘penghasilan hidrogen’.
Jelanya, Ini akan membantu dalam memberikan penjelasan tentang aktiviti yang memerlukan lesen dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pemohon lesen dalam segala urusan berkaitan.
“Dengan ada definisi yang jelas,
kita dapat memastikan bahawa semua pihak yang terlibat memahami tanggungjawab masing-masing,” katanya
Oleh Noor Ikmal