SIMANGGANG: Syarikat Chop Thai Chiang telah menunaikan tanggungjawab korporatnya dengan menyumbang kemeja-T untuk acara regata sempena Pesta Benak Sri Aman 2024 kali ini.
Syarikat yang berpengkalan di Jalan Pasir Panas itu menyumbang sejumlah 110 helai baju berjenama Trans Paint kepada pihak Jawatankuasa Regata Pesta Benak Sri Aman 2024.
Ia diserahkan oleh pemilik syarikatnya, Tay Choon Yong kepada wakil Jawatankuasa Regata Pesta Benak Sri Aman 2024, Mohd Hamizan Yahya di sini hari ini.
Tay ketika ditemui berkata ia merupakan kali ke-12 pihak Chop Thai Chiang menyumbang baju bagi menyokong acara Regata Pesta Benak Sri Aman 2024 yang bakal berlangsung dari 29 November hingga 1 Disember ini.
“Pihak kami telah menyumbang pakaian ini bagi kegunaan peserta dari 28 pasukan yang bakal berentap dalam pelbagai acara regata itu nanti.
“Justeru, pihak syarikat Chop Thai Chiang berharap agar sumbangan ini dapat membuktikan sokongan kami terhadap usaha kerajaan dalam mempromosi sambutan Pesta Benak Sri Aman tahun ini,” katanya.
Beliau berkata Pesta Benak Sri Aman adalah usaha murni kerajaan dalam menambah baik taraf hidup ekonomi rakyat di kawasan ini pada masa akan datang.
“Ia merupakan salah satu sebab mengapa pihak kami menyatakan sokongan terhadap sambutan Pesta Benak Sri Aman pada setiap tahun,” katanya sambil berharap agar rakyat datang beramai-ramai ke bandar Simanggang untuk menyaksikan pesta ini kelak.
Oleh VALENTINE NGUMBANG