LAHORE: Pengisytiharan sebagai bandar paling tercemar di dunia bulan ini menyaksikan kehidupan 14 juta penduduk bandar Lahore, Pakistan terjejas akibat pelbagai masalah kesihatan menghantui segenap lapisan penduduknya.
Berikutan itu, sekolah terpaksa ditutup di bandar-bandar utama wilayah Punjab sehingga 17 November dalam usaha untuk mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada pencemaran pada waktu puncak iaitu pagi.
Menurut Skala Indeks Kualiti Udara Antarabangsa (AQI), nilai indeks 300 atau lebih tinggi dianggap ‘berbahaya’ kepada kesihatan dan Pakistan sering melepasi paras 1,000 pada skala berkenaan.
Di Multan, sebuah lagi bandar yang mempunyai beberapa juta penduduk kira-kira 350 kilometer (km) dari Lahore, paras AQI melepasi 2,000 minggu lalu, suatu yang mengejutkan dan tidak pernah dilihat sebelum ini.
Akses ke taman, zoo, kawasan permainan, monumen bersejarah, muzium dan kawasan rekreasi akan ditutup sehingga 17 November dan tuk-tuk menggunakan enjin dua lejang yang mencemarkan, serta restoran menjalankan barbeku tanpa penapis tidak dibenarkan beroperasi di kawasan ‘panas’ Lahore.
Keadaan bertambah buruk apabila campuran pelepasan bahan api gred rendah dari kilang dan kenderaan, pembakaran jerami pertanian, menyelimuti bandar setiap musim sejuk kerana terperangkap oleh suhu yang lebih sejuk serta angin yang bergerak perlahan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, pencemaran udara boleh menyebabkan strok, penyakit jantung, kanser paru-paru dan penyakit pernafasan lain terutama kepada golongan rentan iaitu kanak-kanak, bayi dan orang tua.
Tahun lalu, kerajaan Punjab melakukan pembenihan awan untuk mengatasi pencemaran asap dan tahun ini, trak dengan meriam air menyembur jalan-jalan, namun tidak berhasil.
Kaunter khas untuk menapis pesakit didirikan di klinik-klinik di seluruh wilayah, dengan 900 orang dimasukkan ke hospital di Lahore saja pada Selasa.
Doktor, Qurat ul Ain, berkata banyak kes berkaitan pencemaran dirujuk ke bilik kecemasan di hospital di Lahore, kebanyakannya kes kritikal.
“Tahun ini udara lebih teruk daripada tahun-tahun sebelumnya dan jumlah pesakit yang menderita akibat kesannya juga lebih ramai.
“Ramai yang tiba dengan kesukaran bernafas atau batuk dan mata merah, selalunya orang tua, kanak-kanak dan lelaki muda yang telah menghirup udara toksik semasa menunggang motosikal.
“Kami menasihatkan orang ramai untuk tidak keluar dan sebaiknya memakai pelitup muka.
“Kami memberitahu mereka untuk tidak menyentuh mata dengan tangan, terutama kanak-kanak,” katanya yang sudah berkhidmat selama 15 tahun.
Selama beberapa hari kepekatan zarah mikro pencemar PM2.5 di Punjab dicatatkan berpuluh-puluh kali ganda lebih tinggi daripada tahap yang dianggap boleh diterima oleh WHO.
Aktivis iklim, Dr Alia Haider, menggesa kempen kesedaran untuk pesakit yang sering tidak mengetahui bahaya asap.
“Kanak-kanak dari kawasan kejiranan miskin adalah mangsa pertama kerana mereka hidup sepanjang tahun dengan bahan pelbagai jenis bahan cemar.
“Kami terperangkap dalam racun sendiri. Ia seperti awan gas meliputi bandar ini,” katanya. – AFP