PETRA JAYA: Belanjawan Negeri 2025 akan terus menjadi belanjawan pengembangan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan yang akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, belanjawan ini bercadang untuk meningkatkan operasi dan pembangunan perbelanjaan daripada RM13.6 bilion pada 2024 kepada RM15.8 bilion pada 2025, peningkatan RM2.2 bilion atau 16 peratus.
Secara ringkasnya, Belanjawan 2025 dirangka merentasi lapan Teras Strategik seperti berikut:
- Mentransformasi dan mempelbagaikan ekonomi Sarawak.
- Meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelaburan utama dan memperomosikan pembangunan PKS
- Memantapkan bakat dan pembangunan pendidikan
- Mempercepatkan transformasi digital dan inovasi
- Meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan pembangunan inklusif
- Mempromosikan kebudayaan, sukan dan pemerkasaan belia
- Meningkatkan kelestarian alam sekitar
- Memantapkan penyampaian perkhidmatan awam dan kapasiti
“Kami menjangkakan hasil sebanyak RM14.2 bilion pada 2025, yang hasil tertinggi pernah diunjurkan, menggariskan kekuatan komitmen kami untuk meningkatkan kemampanan fiskal negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (2025), 2024 pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Anggaran hasil negeri diperoleh daripada sumber utama iaitu hasil cukai berjumlah RM6.2 bilion atau 44 peratus daripada jumlah hasil yang dijangkakan pada 2025, yang terdiri daripada:
(a) RM5.1 bilion daripada Cukai Jualan Negeri, yang mana RM4.1 bilion dari minyak mentah, gas asli cecair dan produk petroleum lain; RM820 juta minyak sawit mentah dan minyak isirung sawit mentah; RM75 juta daripada loteri, RM60 juta produk aluminium, RM29 juta produk kayu, manakala baki RM6 juta daripada arang batu;
(b) RM620 juta daripada royalti air mentah;
(c) RM100 juta daripada royalti hutan, kayu premium dan tarif; dan
(d) RM422 juta daripada royalti perlombongan, sewa tanah dan lain-lain.
Dalam pada itu, Hasil Bukan Cukai dianggarkan berjumlah RM7.0 bilion atau 49 peratus, terutamanya diperoleh daripada sumber:
(a) RM2.7 bilion daripada pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas
(b) RM2.9 bilion daripada pendapatan dividen;
(c) RM853 juta daripada pendapatan faedah;
(d) RM400 juta daripada premium tanah;
(e) RM120 juta daripada pampasan tunai sebagai ganti
duti import dan eksais ke atas produk petroleum;
(f) RM26 juta daripada pihak lain, termasuk lesen, yuran perkhidmatan, permit dan sewa.
Selain itu juga, Terimaan Bukan Hasil dijangka RM32 juta terutamanya daripada deposit tidak dituntut, lebihan bayaran diperoleh semula, dan pelupusan kenderaan.
Dalam pada itu, Pemberian dan Bayaran Balik Persekutuan diunjurkan kepada mencecah RM937 juta.
Sumbangan hasil daripada
sumber ini telah meningkat disebabkan oleh keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan Geran Khas sementara kadar bagi Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta berkuatkuasa tahun depan.
Oleh NUR AIN OTSMAN