KUALA LUMPUR: Wartawan veteran dan bekas ahli politik Datuk Rosnah Abd Majid, 71, meninggal dunia di rumah kakaknya di Teluk Bahang, Pulau Pinang, pada 9.30 pagi ini.
Pemergian Rosnah disahkan kakaknya, Mariam ketika dihubungi Bernama hari ini.
“Allahyarham memang diketahui mempunyai penyakit berkaitan buah pinggang dan pernah membuat pembedahan pemindahan buah pinggang di China pada 2001. Jenazah masih di Pulau Pinang dan akan dikebumikan di Kuala Lumpur,” katanya.
Allahyarham yang dilahirkan pada 1953 di Sungai Pial, Merbuk, Kedah adalah lepasan Universiti Malaya dalam bidang Ekonomi.
Rosnah pernah bertugas di akhbar Utusan Malaysia selama 20 tahun, sejak 1977 dan merupakan pemenang pertama Anugerah Kajai pada 1984.
Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Tanjung Dawai selepas menewaskan calon PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 dan pernah menyandang jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Wanita UMNO Negeri Kedah bagi penggal 2000/2003.
Beliau juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden (FKBM) Universiti Utara Malaysia (UUM) selama setahun pada 2007.
Sementara itu, rakan Allahyarham, Norzahizan Ismail ketika dihubungi memaklumkan Rosnah meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh di dalam bilik air.
“Saya difahamkan arwah terbang ke Pulau Pinang tiga hari lepas untuk menziarah kakaknya yang dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang kerana masalah jantung,” katanya.
Selain pernah berkhidmat sebagai ADUN, Rosnah juga pernah menjawat jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kedah untuk tempoh 1999 hingga 2004.
Rosnah menceburi bidang perniagaan pada 2004, menyertai EBM yang berpangkalan di Fort Lauderdale, Florida selama dua tahun sebelum memutuskan untuk menubuhkan firma perundingnya sendiri, Ramwell Sdn Bhd (Ramwell) pada 2007, yang pakar dalam hal ehwal kerajaan, perancangan dan komunikasu strategik.
Beliau turut menerima biasiswa Journalise en Europe, satu program biasiswa Kesatuan Eropah untuk mengkaji kewartawanan di Paris (1985-1986).
Rosnah juga merupakan wanita Malaysia pertama dan yang pertama daripada akhbar vernakular menerima Fellowship dari Universiti Harvard (1988-1989), satu-satunya biasiswa paling berprestij untuk wartawan di dunia.– BERNAMA