GEDONG: Masyarakat tempatan perlu menggunakan dengan baik inkubator perniagaan yang telah disediakan bagi memulakan perniagaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan ada inkubator ini, ia mampu membantu usahawan negeri ini untuk menggunakan kaedah perniagaan secara digital.
Katanya, inkubator yang disediakan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) sudah serba lengkap bagi membantu anak Sarawak yang berminat berkecimpung dalam dunia perniagaan.
“Di inkubator TEGAS serba lengkap, ada laptop, baucar dan banyak lagi. Gunakanlah ia sebaik mungkin. Gunakan laptop itu untuk berdagang cara baharu.
“Jangan jadi macam di Sarikei, inkubatornya kosong, tiada orang. Tiada masalah untuk menubuhkannya di setiap bahagian asalkan anda memiliki kekuatan dan kemahuan untuk memperbaiki diri seiring dengan teknologi terkini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Perhimpunan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Datuk Patinggi Ali Gedong, di sini, hari ini.
Abang Johari menjawab permintaan Ketua Pemuda PBB, Miro Simuh yang mahu agar inkubator perniagaan ditubuhkan di setiap daerah negeri ini.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa agar Pergerakan Pemuda PBB terus memberi sokongan penuh terhadap pimpinan parti tersebut demi perpaduan dan kestabilan parti.
“Dahulu Arwah Tok Nanv(Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem) dilantik sebagai Ketua Menteri, semua kami menyokong beliau, tiada perbalahan, apabila saya dilantik, semua sokong saya, sebab itulah kita kuat,”jelasnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT