KUCHING: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencadangkan agar Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dilantik sebagai agensi pelaksana bagi projek yang tertangguh di negeri ini.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Rubiah Wang berkata kebanyakan projek tertangguh di bawah kementerian itu melibatkan bekalan air bersih di kawasan luar bandar.
“Kementerian telah mengambil tindakan drastik untuk mempercepatkan pelaksanaan projek yang tertangguh antaranya mengadakan kerjasama erat dengan kerajaan negeri.
“Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi komitmen untuk mengadakan mesyuarat bulanan bagi memastikan proses-proses pelaksanaan khususnya dalam aspek perancangan projek dapat dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Menggalakkan Tanggungjawab Akauntabiliti Kebolehpercayaan (ERAT) Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersama Penguat Kuasa, Mahasiswa dan Masyarakat di Dewan Pertubuhan Peladang di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata antara lain, kementerian juga berusaha mengurangkan kerenah birokrasi sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri agar projek yang tertangguh dapat dilaksanakan sepenuhnya sebelum pelancaran Rancangan Malaysia Ke-13.
Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, sebelum ini berkata sejumlah 24 projek KKDW di Sarawak telah tertangguh sejak 2016 hingga 2022 dan peruntukan kira-kira RM1.4 bilion diperlukan bagi pelaksanaan projek berkenaan.
— BERNAMA